
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Karya muzik dan lagu Tamil Malaysia akan dipertimbang sebagai Warisan Kebangsaan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
- Proses menyeluruh diperlukan: penyelidikan, pendokumentasian dan penilaian berdasarkan nilai seni, budaya serta sejarah menurut Subseksyen 67(2) Akta Warisan Kebangsaan 2005.
- Jabatan Warisan Negara telah mengenal pasti warisan masyarakat India seperti makanan tradisi, seni mempertahankan diri Silambam, permainan Kabaddi dan tarian Giddha.
- Kerajaan memberi jaminan khidmat nasihat dan kerjasama kepada persatuan kebudayaan, penggiat seni, akademik dan penyelidik untuk pengiktirafan warisan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man bagaimanapun berkata, proses menyeluruh berdasarkan nilai seni, budaya dan sejarah yang signifikan perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
“Perlu dikenal pasti dengan jelas menerusi penyelidikan, pendokumentasian dan seterusnya dinilai berdasarkan kepentingan nilai warisan selaras dengan Subseksyen 67(2) Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) iaitu antaranya kepentingan sejarah hubungan atau perhubungan dengan sejarah Malaysia,” katanya.
Chiew juga memaklumkan, kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi mengangkat budaya masyarakat India di Malaysia menerusi pengiktirafan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.
Antara warisan yang telah dikenal pasti termasuk makanan dan seni tradisional masyarakat India.
“Seperti laddu, muruku, roti canai, tosai, kari kepala ikan, apam dan capati, seni mempertahankan diri seperti silambam, permainan tradisional seperti kabaddi serta seni persembahan seperti tarian Giddha.”
Beliau menjawab soalan Senator K. Saraswathy pada persidangan Dewan Negara.
Dalam pada itu, Chiew beri jaminan kerajaan sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat dan kerjasama kepada persatuan kebudayaan, penggiat seni, ahli akademik, penyelidik serta pihak berkaitan bagi mengenal pasti khazanah warisan masyarakat India yang berpotensi dicalonkan untuk pengiktirafan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.