
SHAH ALAM, 3 Ogos – Pemilik lesen perniagaan di Selangor yang didapati menjual atau memindahkan lesen kepada warga asing bakal berdepan tindakan tegas.
- Menteri Besar arah pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitamkan individu terbabit.
- Tindakan diperlukan untuk mengelakkan penyalahgunaan lesen yang menjejaskan kawalan dan pemantauan aktiviti perniagaan.
- Amirudin tegaskan isu ini menimbulkan kebimbangan dan masalah awam besar, lalu PBT diminta ambil tindakan segera.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraihitamkan individu terbabit bagi memastikan peraturan pelesenan dipatuhi.
Menurut beliau, tindakan itu penting bagi mengelakkan penyalahgunaan lesen yang boleh menjejaskan kawalan serta pemantauan terhadap aktiviti perniagaan di negeri berkenaan.
“Jadi, saya minta pihak PBT supaya ambil tindakan. Sesiapa yang menjual lesen ini perlu disenaraihitam kerana ia telah menimbulkan kebimbangan dan masalah awam yang besar dalam negara dan negeri kita, ” katanya.
Datuk Seri Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz pada persidangan Dewan Negeri Selangor.