Kebakaran hutan di Crete belum terkawal, angin kencang hambat operasi

Kebakaran hutan marak berhampiran kampung Asomatos di Pulau Crete, Greece / Foto AFP

RETHYMNO, 31 Julai – Anggota bomba Greece terus bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan di Pulau Crete yang masih belum dapat dikawal sepenuhnya berikutan angin kencang menghambat operasi pemadaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Analisis satelit Copernicus menunjukkan kira-kira 4,500 hektar terbakar di selatan Rethymno.
  • Terdapat banyak kawasan panas di sekitar Rethymno, menyebabkan kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya.
  • Tiga anggota bomba maut; pihak berkuasa meletakkan pasukan kecemasan seluruh Greece dalam keadaan berjaga-jaga.

Jurucakap Jabatan Bomba Greece berkata keadaan di sekitar Rethymno semakin baik, namun kebakaran masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya kerana masih terdapat banyak kawasan panas (hotspots).

Kebakaran turut dilaporkan berlaku di Pulau Paros, Kalymnos dan Andros, namun pihak berkuasa memaklumkan keadaan di pulau-pulau berkenaan semakin terkawal.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Balai Cerap Kebangsaan Athens, kira-kira 4,500 hektar kawasan di selatan bandar peranginan Rethymno terbakar sepanjang Rabu dan Khamis berdasarkan analisis imej satelit Program Copernicus Kesatuan Eropah (EU).

Pihak berkuasa berkata angin kencang yang berterusan serta bentuk muka bumi yang berbukit menyukarkan operasi pemadaman, termasuk penggunaan pesawat pengebom air.

Sementara itu, pihak berkuasa perlindungan awam meletakkan anggota bomba dan pasukan kecemasan di seluruh Greece dalam keadaan berjaga-jaga susulan risiko kebakaran hutan yang sangat tinggi di beberapa kawasan termasuk Athens, Crete, kepulauan Aegean dan Peloponnese.

Minggu ini, tiga anggota bomba dilaporkan maut ketika bertugas memadam kebakaran hutan di Crete dan Peloponnese.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.