AS kenakan tarif baharu terhadap 60 rakan dagang berkait isu buruh paksa

Foto AFP

WASHINGTON, 24 Julai – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan mengenakan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang susulan kebimbangan berkaitan buruh paksa, menggantikan tarif global sementara yang diperkenalkan Presiden Donald Trump awal tahun ini dan bakal tamat tempoh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tarif baharu 10 hingga 12.5 peratus dikenakan terhadap ekonomi utama termasuk China, India dan Kesatuan Eropah.
  • Negara yang melaksanakan atau berjanji larangan import melibatkan buruh paksa dikenakan kadar lebih rendah 10 peratus.
  • China, Jepun dan Korea Selatan antara yang dikenakan tarif lebih tinggi 12.5 peratus; beberapa negara diberi kelonggaran perjanjian perdagangan.
  • Pentadbiran gunakan Seksyen 301 dan siasatan terhadap 16 ekonomi boleh membawa tarif tambahan; langkah direka lebih kukuh secara undang-undang.

Tarif baharu yang berkuat kuasa hari ini ditetapkan antara 10 hingga 12.5 peratus, melibatkan ekonomi utama termasuk China, India dan Kesatuan Eropah (EU).

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, AS telah menguatkuasakan larangan import yang melibatkan buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan kini menggesa rakan dagangnya mengambil langkah sama.

Beliau berkata ekonomi yang disasarkan mewakili sebahagian besar perdagangan AS.

Langkah itu dibuat selepas Mahkamah Agung AS pada Februari lalu membatalkan beberapa tarif yang diperkenalkan pentadbiran Trump, sekali gus mengehadkan keupayaannya mengenakan tarif tinggi secara unilateral.

Susulan keputusan itu, pentadbiran Trump menggunakan peruntukan undang-undang lain untuk mengenakan tarif import sebanyak 10 peratus selama 150 hari, yang tamat tempoh hari ini.

Tarif baharu yang dicadangkan sejak Jun lalu akan menggantikan langkah sementara itu.

Ia diperkenalkan selepas siasatan selama beberapa bulan dan dianggap lebih kukuh dari segi undang-undang bagi menghadapi sebarang cabaran di mahkamah.

Mengikut pengumuman itu, negara dan ekonomi yang telah melaksanakan atau berjanji melaksanakan larangan import melibatkan buruh paksa dikenakan tarif lebih rendah iaitu 10 peratus, termasuk Kanada, EU, India dan United Kingdom.

Sebaliknya, China, Jepun, Korea Selatan serta puluhan negara lain dikenakan tarif lebih tinggi sebanyak 12.5 peratus.

Bagaimanapun, EU, Taiwan, Jepun, Korea Selatan dan Switzerland diberi sedikit kelonggaran selaras dengan perjanjian perdagangan yang telah dimeterai sebelum ini dengan AS.

Produk yang sudah tertakluk kepada tarif sektor tertentu seperti keluli dan aluminium tidak akan terjejas.

Beberapa produk tenaga, baja serta barangan yang dilindungi di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Mexico-Kanada (USMCA) turut dikecualikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington sedang menjalankan siasatan terhadap 16 ekonomi berhubung isu lebihan kapasiti perindustrian yang berpotensi membawa kepada tarif tambahan pada masa depan.

Pakar perdagangan berpandangan kadar tarif mungkin berbeza mengikut negara bergantung kepada hasil siasatan tersebut.

Peguam perdagangan, Greta Peisch berkata langkah mengenakan tarif asas sambil mengekalkan ancaman tarif tambahan memberi AS kelebihan dalam rundingan dengan rakan dagangnya serta menggalakkan pematuhan terhadap perjanjian perdagangan sedia ada.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan juga bertujuan memastikan tarif baharu lebih kukuh sekiranya dicabar di mahkamah, sekali gus meningkatkan kemungkinan ia kekal berkuat kuasa sepanjang pentadbiran Trump.

Sementara itu, Josh Lipsky daripada Atlantic Council berkata langkah itu menunjukkan ekonomi terbesar dunia kini bergerak ke arah dasar perdagangan yang lebih bersifat perlindungan, selain berpotensi meningkatkan hasil kerajaan AS.

Bekas pegawai perdagangan AS, Ryan Majerus pula berkata pentadbiran Trump terus mencari mekanisme undang-undang bagi membolehkan tarif dikenakan secara lebih agresif.

Menurutnya, Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 yang digunakan untuk mengenakan tarif terbaharu memberi kerajaan AS lebih banyak fleksibiliti kerana kadar tarif boleh diubah mengikut perkembangan semasa.

Langkah terbaharu itu dibuat selepas tarif 25 peratus ke atas pelbagai barangan Brazil mula berkuat kuasa susulan dakwaan amalan perdagangan tidak adil negara itu.

Minggu ini, Trump turut mengarahkan tarif baharu 50 peratus ke atas banyak produk Kanada dengan alasan layanan diskriminasi Ottawa terhadap produk alkohol, automotif dan tenusu AS.

Menurut Lipsky, penggunaan peruntukan undang-undang baharu itu menunjukkan Trump masih mempunyai pelbagai mekanisme untuk mengenakan tarif dengan pantas, sekali gus menandakan perjanjian perdagangan AS masih bersifat rapuh.

Namun begitu, EU yang telah memeterai perjanjian perdagangan dengan AS menyatakan keyakinan bahawa Washington akan menghormati komitmen yang dipersetujui dalam Kenyataan Bersama EU-AS. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.