
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland secara rasmi membuka tirai hari ini, menyaksikan atlet dari seluruh negara Komanwel mula berentap dalam saingan berprestij yang berlangsung hingga 2 Ogos ini.
- Kontinjen Malaysia menghantar 59 atlet dan pegawai, bersemangat tinggi untuk bersaing dan memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
- Atlet diharap tunjuk kekuatan fizikal, mental dan semangat juang tinggi demi mengharumkan nama Malaysia.
- Rakyat diseru beri sokongan padu sepanjang temasya; format 10 sukan menjadikan persaingan lebih sengit.
Kontinjen Malaysia turut menggalas cabaran negara dengan semangat tinggi apabila menghantar barisan atlet terbaik untuk bersaing dalam pelbagai acara sepanjang temasya tersebut. Seramai 59 atlet bersama pegawai menggalas misi memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
Upacara pembukaan yang berlangsung di arena ikonik OVO Hydro menjadi simbol permulaan rasmi temasya, sekali gus menandakan 11 hari persaingan sengit melibatkan kira-kira 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel.
Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi hantaran di Facebook hari ini menzahirkan harapan agar setiap atlet negara dikurniakan kekuatan, ketabahan serta semangat juang yang tinggi dalam menggalas cabaran, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Ayuh rakyat Malaysia, sama-sama terus memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada barisan wira serta wirawati negara sepanjang berlangsungnya temasya ini,” menurut hantaran berkenaan.
Sukan Komanwel edisi Glasgow ini juga dijangka menjadi medan ujian getir buat semua kontinjen berikutan format lebih ringkas dengan hanya 10 jenis sukan dipertandingkan, sekali gus menjadikan persaingan lebih sengit.
“Selamat berjuang Team MAS! Semoga kejayaan mengiringi setiap langkah atlet negara dalam misi membanggakan Malaysia di pentas dunia,” kata MSN dalam hantaran sama.