Kolej Matrikulasi Kelantan miliki kemudahan sukan bertaraf antarabangsa

KMKt muncul hab pembangunan sukan di Kelantan.

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kolej Matrikulasi Kelantan (KMKt) kini muncul sebagai antara institusi pendidikan yang memiliki kemudahan sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab pembangunan sukan di negeri ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trek sintetik KMKt diiktiraf World Athletics Facilities Class 2, pertama kolej matrikulasi dan satu-satunya trek di Kelantan diiktiraf.
  • Kemudahan termasuk padang bola sepak spesifikasi kejohanan, gelanggang hoki diiktiraf FIH, dewan moden dan pelbagai gelanggang luar memenuhi piawaian antarabangsa.
  • Fasiliti dijangka memberi impak positif pembangunan sukan Kelantan, menyokong penganjuran bertaraf tinggi dan berpotensi jadi gelanggang utama SUKMA Kelantan 2028.

Kemudahan itu bakal diserahkan secara rasmi dalam majlis perasmian dan penyerahan fasiliti yang dijadual berlangsung pada 10 Ogos.

Trek sintetik KMKt mencipta sejarah apabila menjadi kolej matrikulasi pertama di Malaysia menerima pengiktirafan World Athletics Facilities Class 2 daripada World Athletics (WA), badan induk olahraga dunia yang berpangkalan di Monaco.

Pengiktirafan berkenaan turut menjadikan trek olahraga KMKt sebagai satu-satunya trek olahraga di Kelantan yang diiktiraf oleh World Athletics, berkuat kuasa mulai Januari 2027.

Selain trek olahraga, padang bola sepak di Stadium Utama KMKt dibangunkan mengikut spesifikasi yang membolehkannya menjadi lokasi penganjuran pertandingan bola sepak dan ragbi di peringkat negeri serta kejohanan kebangsaan.

KMKt turut memiliki gelanggang hoki yang menerima pengiktirafan daripada International Hockey Federation (FIH), sekali gus memenuhi piawaian antarabangsa bagi penganjuran latihan dan pertandingan hoki.

Bagi kemudahan sukan dalaman, sebuah dewan tertutup moden dilengkapi enam gelanggang badminton turut disediakan. Dewan itu juga boleh digunakan sebagai arena pelbagai guna bagi penganjuran sukan seperti ping pong, pencak silat, taekwondo, karate serta pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.

Kemudahan sukan luar pula merangkumi empat gelanggang bola jaring, dua gelanggang futsal, dua gelanggang bola keranjang, empat gelanggang bola tampar, empat gelanggang tenis dan empat gelanggang sepak takraw.

Kesemua fasiliti itu bukan sahaja memenuhi keperluan kokurikulum dan pembangunan atlet pelajar, malah berpotensi menjadi lokasi penganjuran kejohanan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Pembangunan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa itu dijangka memberi impak positif kepada pembangunan sukan di Kelantan menerusi penyediaan fasiliti latihan yang lebih berkualiti, selain menyokong penganjuran pertandingan bertaraf tinggi.

KMKt juga dilihat berpotensi menjadi antara gelanggang utama bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai institusi pendidikan yang turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.