
JELEBU, 22 Julai – Kerajaan akan terus menyokong pembangunan sektor ekopelancongan di Kampung Chennah dengan menyediakan pelbagai program dan skim pembiayaan bagi membantu pengusaha dalam menyediakan kemudahan yang lengkap.
- Kemudahan berkualiti meningkatkan pengalaman pelancong dan menarik lebih ramai pengunjung ke Kampung Chennah.
- Pembangunan ekopelancongan memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan baik kepada pelawat.
- Beberapa pengusaha tempatan mencatat prestasi memberangsangkan dengan pengunjung dari pelbagai negeri.
- Sokongan memperkukuh ekosistem ekopelancongan dirangka untuk merancakkan aktiviti dan limpahan ekonomi untuk masyarakat setempat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata penyediaan kemudahan yang berkualiti mampu meningkatkan pengalaman pelancong sekali gus menarik lebih ramai kedatangan pelawat dan pelancong ke lokasi berkenaan.
“Kerajaan sudah pasti akan terus menyediakan pelbagai program atau skim untuk memberi bantuan pinjaman supaya pengusaha mempunyai modal menyediakan pelbagai kemudahan.
“Membangunkan sektor ekopelancongan ini memerlukan perbelanjaan untuk menyediakan kemudahan yang baik kepada pelawat atau pelancong,” katanya.
Beliau yang juga Calon Pakatan Harapan N01 DUN Chennah berkata beberapa pengusaha ekopelancongan di Kampung Chennah telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila merekodkan jumlah kehadiran pelawat dari pelbagai negeri.
Justeru katanya sokongan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekopelancongan di kawasan berkenaan bagi merancakkan lagi aktiviti ekopelancongan demi memastikan limpahan ekonomi dirasai oleh masyarakat setempat secara keseluruhan.