
WASHINGTON, 21 Julai – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran bahawa Iran akan berdepan tindak balas yang jauh lebih keras bagi setiap anggota tentera AS yang terbunuh dalam perang dengan negara Teluk itu.
- Konflik semakin merebak ke beberapa negara di Asia Barat, memburukkan lagi ketegangan serantau.
- Tiga lagi anggota tentera AS dilaporkan maut, seorang hilang; jumlah kematian kini 17.
- Tehran membalas dengan menyasarkan kepentingan dan aset ketenteraan AS serta Israel di rantau itu.
Perkara itu memburukkan lagi konflik yang semakin merebak ke beberapa negara di Asia Barat.
Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, arahan berkaitan tindak balas itu telah disampaikan kepada Setiausaha Perang, Pete Hegseth, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Daniel Caine serta barisan kepimpinan tentera AS.
Amaran itu dibuat selepas tiga lagi anggota tentera AS dilaporkan maut, manakala seorang lagi masih hilang ketika menjalankan tugas.
Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan anggota tentera AS yang terbunuh dalam perang berkenaan kini mencecah 17 orang.
Menurut Pentagon, hampir 100 anggota tenteranya turut cedera dengan kebanyakannya mengalami gegaran otak ringan.
Konflik berkenaan tercetus selepas AS dan sekutu rapatnya, Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada penghujung Februari.
Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan kepentingan serta aset ketenteraan AS dan Israel di rantau itu .- AFP