Ringgit mengukuh susulan jangkaan kenaikan kadar faedah AS semakin reda

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh data inflasi AS yang lebih lemah daripada jangkaan dan unjuran bahawa kenaikan kadar faedah AS akan berlaku dalam tempoh terdekat semakin reda.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan menunjukkan bank pusat AS tidak tergesa-gesa menaikkan kadar faedah.
  • Indeks Harga Pengguna dan Pengeluar AS bagi Jun lebih rendah daripada jangkaan, disebabkan penurunan harga minyak mentah.
  • Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada penutupan sekitar 6.00 petang.
  • Walaupun begitu, ringgit kebanyakannya lebih lemah berbanding pound, euro serta mata wang serantau seperti SGD, rupiah dan baht.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0710/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0760/0805 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang Asia secara amnya lebih kukuh berbanding dolar AS susulan jangkaan bahawa kenaikan kadar faedah AS akan berlaku dalam tempoh terdekat semakin reda.

“Kedua-dua Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar AS mencatatkan bacaan lebih rendah daripada jangkaan pada Jun, susulan penurunan harga minyak mentah sepanjang bulan tersebut.

“Selain itu, kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS kepada Jawatankuasa Perbankan Senat malam tadi membayangkan bahawa bank pusat itu tidak tergesa-gesa untuk menaikkan kadar dana persekutuan, katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain hari ini.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4987/5034 daripada 5.4578/4638 ketika ditutup pada Rabu dan turun berbanding euro kepada 4.6678/6718 daripada 4.6536/6587 sebelum itu, walaupun ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 2.5102/5125, berbanding 2.5103/5132 ketika ditutup semalam.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan rendah berbanding mata wang serantau ASEAN.

Mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1583/1612 daripada 3.1546/1583 pada penutupan pada Rabu, menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 226.3/226.6 daripada 225.5/225.9 ketika ditutup semalam dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.1247/1399 daripada 12.1198/1371 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.61 daripada 6.61/6.62 pada penutupan semalam. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.