AS tamatkan misi antikeganasan terhadap Daesh di Iraq

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi / Foto REUTERS

WASHINGTON, 15 Julai – Amerika Syarikat (AS) mengesahkan akan menamatkan misi ketenteraan menentang kumpulan Daesh di Iraq mengikut jadual yang dipersetujui bersama, kata Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS mengesahkan penamatan Operasi Inherent Resolve menentang ISIS di Iraq mengikut garis masa yang dipersetujui.
  • Di bawah perjanjian antara Washington dan Baghdad, misi berakhir 30 September; kerjasama ketenteraan akan diteruskan menerusi perkongsian keselamatan dua hala.
  • AS menegaskan Iraq kini negara berdaulat; berharap terus kukuhkan kerjasama berdasarkan kepentingan bersama.

Pengumuman itu dibuat ketika Hegseth menerima kunjungan Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi, di Pentagon sempena lawatan rasmi pertama pemimpin itu ke luar negara sejak memegang jawatan pada Mei lalu.

“Hari ini, kami mengesahkan secara terbuka bahawa Operasi Inherent Resolve akan menamatkan misi antikeganasan terhadap Daesh di Iraq mengikut garis masa yang diumumkan bersama sebelum ini,” katanya.

Operasi Inherent Resolve dilancarkan pada 2014 selepas ISIS menawan kawasan yang luas di Iraq dan Syria.

Walaupun kumpulan itu kehilangan wilayah yang pernah dikuasainya, tentera pakatan diketuai AS terus berada di Iraq bagi menjalankan peranan sebagai penasihat kepada pasukan keselamatan negara itu.

Di bawah perjanjian antara Washington dan Baghdad, misi berkenaan dijadualkan berakhir pada 30 September ini, manakala kerjasama ketenteraan akan diteruskan menerusi perkongsian keselamatan dua hala.

Hegseth turut menegaskan Iraq kini merupakan sebuah negara yang berdaulat dan tidak lagi dikuasai oleh bekas Presiden Saddam Hussein, al-Qaeda, Daesh atau Iran.

“Iraq bukan milik Saddam, bukan milik al-Qaeda atau Daesh, dan bukan juga milik Iran. Iraq ialah sebuah negara yang kuat dan berdaulat. Kami berharap dapat terus menjalin kerjasama berasaskan kepentingan bersama.

“Kami menghargai keberanian dan kepimpinan anda, serta berharap dapat memperkukuh kerjasama pada masa depan,” katanya kepada al-Zaidi.

Pertemuan di Pentagon itu diadakan selepas Presiden AS, Donald Trump, mengadakan perbincangan dengan al-Zaidi di White House  mengenai hubungan dua hala, termasuk usaha kerajaan Iraq mengurangkan pengaruh kumpulan yang disokong Iran di negara itu.

Al-Zaidi tiba di AS pada Isnin bagi lawatan rasmi pertama ke luar negara sejak dilantik sebagai perdana menteri pada Mei lalu. Beliau muncul sebagai calon kompromi selepas kebuntuan politik yang berlarutan susulan pilihan raya Parlimen Iraq sebelum dilantik secara rasmi pada April.

Selepas pelantikannya, Trump menyifatkan kepimpinan al-Zaidi sebagai permulaan kepada “lembaran baharu yang amat penting” dalam hubungan AS-Iraq yang berteraskan kemakmuran, kestabilan dan kejayaan bersama. -VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.