
DALLAS, 14 JULAI – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps menegaskan Sepanyol kekal sebagai pilihan utama menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 di Stadium AT&T, Arlington, Texas, awal pagi Rabu.
- Sepanyol tunjukkan prestasi konsisten dan sahkan status juara Eropah walaupun Perancis beraksi cemerlang.
- Deschamps enggan menambah tekanan kepada jurulatih Luis de la Fuente walaupun ramai menjangka kejayaan.
- Sepanyol kuat menyerang dan bertahan, hanya bolos satu gol dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir.
- Pemain muda Lamine Yamal dianggap ancaman utama; Perancis perlu hadkan peranan satu lawan satu beliau.
Menurut pengendali berusia 57 tahun itu , walaupun skuad Les Bleus mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan, namun sepanyol membuktikan status mereka sebagai juara Eropah dengan prestasi konsisten.
“Lupakan perlawanan pertama menentang Cape Verde. Sejak itu, Sepanyol telah membuktikan mereka adalah pasukan pilihan.
“Saya tidak mahu menambah tekanan kepada Luis de la Fuente dan pasukannya, tetapi semua orang mengharapkan sesuatu yang hebat daripada Sepanyol.
“Mereka bukan sahaja hebat ketika menyerang, malah sangat kukuh bertahan. Mereka hanya melepaskan satu gol dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir,” katanya.
Sementara itu, Deschamps menjangkakan perlawanan separuh akhir akan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan memiliki kekuatan di bahagian serangan.
“Dengan kualiti dimiliki kedua-dua pasukan, saya fikir kita boleh menjangkakan satu perlawanan yang cukup menarik,” tambahnya.
Beliau turut mengakui pemain sayap muda Sepanyol, Lamine Yamal mampu menjadi ancaman utama.
“Ya, dia seorang pemain yang mampu mencipta perbezaan di atas padang. Kami perlu menghadkan kekuatannya, tetapi kami juga mempunyai ramai pemain yang mampu memberikan cabaran.
“Situasi satu lawan satu mungkin sukar, tetapi pemain kami juga bukan mudah untuk ditewaskan,” katanya. -AFP