
KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Atlet 110 meter (m) lari berpagar negara Mohamad Armin Zahryl Abd Latif berjaya memecahkan rekod kebangsaan ketika mengesahkan tempat ke final Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China.
- Armin mencatat 13.63 saat pada saringan pertama, memadam rekod kebangsaan 13.67s milik Rayzam Shah (2017).
- Dalam saringan pertama Armin tempat kedua di belakang Shiqi Zhao (13.58s); Sutthahathai Phrambut ketiga (13.99s).
- Elvin Yap melangkah ke final selepas catatan peribadi 13.72s, menamatkan saringan kedua di tempat ketiga.
- Saringan kedua dimenangi Zhang Zijun (13.61s); Oumar Doudai O Abakar dari Qatar kedua (13.68s). Final dijadual esok pukul 6 petang.
Menurut hantaran Facebook rasmi Olahraga Malaysia, juara Terbuka Singapura itu mencatat masa 13.63 saat (s) pada saringan pertama, sekali gus memadam rekod kebangsaan 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang dilakar pada 2017.
Pada perlumbaan saringan pertama, pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu menamatkan saingan di tempat kedua di belakang atlet China Shiqi Zhao yang mencatat 13.58s, manakala wakil Thailand Sutthahathai Phrambut di tempat ketiga dengan masa 13.99s.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara Elvin Yap Zhi Xuan turut melangkah ke final selepas menamatkan saringan kedua di tempat ketiga dengan catatan masa 13.72s bagi memperbaharui rekod peribadi terbaiknya.
Saringan kedua dimenangi wakil tuan rumah Zhang Zijun dengan catatan 13.61s, manakala Oumar Doudai O Abakar dari Qatar berada di tempat kedua selepas merekodkan masa 13.68s.
Final acara 110m lari berpagar dijadual berlangsung pada pukul 6 petang esok (Ahad).
Sebagai rekod, jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi memenangi pingat emas acara 100m pada Khamis lepas sebelum tersingkir daripada saingan final 200m susulan false start atau salah mula. Bernama