
JOHANNESBURG, 11 JULAI – Pemain tengah Afrika Selatan Jayden Adams yang mewakili negaranya pada Piala Dunia 2026 meninggal dunia pada Sabtu.
- Menteri Sukan Gayton McKenzie mengesahkan pemergian dan menyifatkan Adams sebagai antara bakat muda paling menyerlah.
- Punca kematian pemain berusia 25 tahun itu tidak didedahkan oleh pihak berkuasa.
- Polis membuka siasatan selepas mayat ditemui dalam sebuah rumah di Schotschekloof, pinggir Cape Town.
- Dilahirkan di Cape Town, memulakan karier dengan Stellenbosch FC sebelum menyertai Mamelodi Sundowns pada Januari 2025.
Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie mengesahkan perkembangan itu dalam satu kenyataan.
“Dengan rasa terkejut yang mendalam dan hati yang berat, saya menerima berita pemergian Jayden Adams. Bola sepak Afrika Selatan telah kehilangan antara bakat muda paling menyerlah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan punca kematian pemain berusi 25 tahun itu.
Sementara itu, pihak polis mengesahkan siasatan telah dibuka selepas mayat pemain itu ditemukan dalam sebuah rumah di Schotschekloof, pinggir bandar Cape Town pada pagi Sabtu.
Terdahulu, Adams beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan pada peringkat kumpulan di Piala Dunia 2026, namun tidak diturunkan dalam pusingan kalah mati yang menyaksikan pasukannya tewas kepada Kanada.
Dilahirkan di Cape Town, Adams memulakan karier profesional bersama Stellenbosch FC sebelum menyertai juara Liga Juara-Juara CAF, Mamelodi Sundowns, pada Januari 2025.
Adams meninggal dunia kurang sebulan selepas pemergian neneknya yang dilapor berlaku sehari sebelum aksi pembukaan Kumpulan A, ketika Afrika Selatan menentang Republic Czech di Stadium Atlanta.
Persatuan Bola Sepak Afrika Selatan (SAFA) sebelum ini memaklumkan Adams tetap beraksi sebagai kesebelasan utama meskipun sedang menanggung kesedihan atas kehilangan neneknya.
“Jayden memulakan perlawanan menentang Czechia dan memberikan segala-galanya di atas padang walaupun sedang memikul beban kehilangan neneknya,” menurut SAFA. -AFP