
KUALA LUMPUR, 11 Julai – Dagangan ringgit dijangka berada pada jajaran kecil antara RM4.05 dengan RM4.07 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan memandangkan pelabur menunggu laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan pada Selasa depan.
- IHP AS boleh menentukan pergerakan pasaran kewangan global dan menjadi pemangkin utama sentimen pasaran.
- Bacaan IHP yang rendah mungkin mengukuhkan jangkaan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan AS, menyokong ringgit.
- Pada asas minggu ke minggu, ringgit susut sedikit kepada 4.0695/0745 berbanding dolar AS.
- Ringgit mengukuh berbanding kebanyakan mata wang utama dan serantau tetapi melemah berbanding pound British.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata IHP AS boleh menentukan pergerakan pasaran kewangan global di samping boleh menjadi pemangkin utama seterusnya untuk sentimen pasaran.
“Wujud kemungkinan munasabah yang data itu boleh lemah, terutama seandainya harga tenaga yang rendah mengekang lonjakan inflasi pada Mei.
“Bacaan IHP yang rendah mungkin mengukuhkan jangkaan terhadap pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan AS seterusnya mempengaruhi pergerakan dolar AS dan menyediakan persekitaran yang baik untuk ringgit,” katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit turun sedikit kepada 4.0695/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0690/0735 pada minggu sebelumnya.
Mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada minggu ini.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5148/5181 daripada 2.5253/5281, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6502/6559 daripada 4.6553/6606 pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, unit domestik turun berbanding pound British kepada 5.4572/4639 daripada 5.4325/4385 minggu lepas.
Ringgit didagangkan tinggi berbanding kebanyakan mata wang negara serantau ASEAN.
Unit tempatan rendah sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1520/1561 daripada 3.1521/1558 namun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2101/2302 daripada 12.2782/2966.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 225.2/225.6 daripada 226.5/226.8, dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.62 daripada 6.62/6.63 Jumaat lepas. – BERNAMA