
KEMAMAN, 7 Julai– Generasi kedua dan ketiga FELDA menyambut baik peruntukan RM15.85 juta bagi pelaksanaan program Literasi Digital di 317 tanah rancangan FELDA di seluruh negara.
- Program literasi digital dijangka memperluas akses teknologi dan kemudahan ICT di komuniti FELDA.
- Pelajar boleh mencari bahan pembelajaran, manakala golongan bekerja mendapat maklumat berkaitan pekerjaan.
- Penambahan peralatan di pusat NADI beri peluang mendalami bidang IT dan perkhidmatan pendigitalan.
- Petugas NADI dapat meningkatkan mutu perkhidmatan serta membantu lebih ramai warga FELDA.
Mereka berpandangan, peruntukan RM50,000 yang diterima setiap tanah rancangan mampu meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Ia sekali gus berupaya memperluas akses komuniti terhadap teknologi digital.
Belia FELDA Cherul, Siti Nabilah Zaghapa berkata, inisiatif itu memberi manfaat kepada pelajar dan golongan bekerja.
“Pelajar sekolah boleh mencari bahan pembelajaran, manakala golongan bekerja pula boleh mendapatkan bahan serta maklumat berkaitan pekerjaan.
Budak-budak sekolah juga boleh belajar IT dan menjawab soalan melalui media sosial,” katanya.
Generasi kedua FELDA Cherul, Ajeerah Hanim Hasmadi berharap peruntukan itu dimanfaatkan untuk menambah baik kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Penambahan peralatan akan memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai warga FELDA mendalami bidang IT dan digital,” katanya.
Sementara itu, generasi ketiga FELDA Cherul, Muhammad Alif Amirul Rifin menyifatkan pengumuman itu sebagai peluang terbaik untuk belia meningkatkan kemahiran digital.
“Di NADI ada kemudahan untuk belajar membaiki gajet dan mencari maklumat. Petugas di sini juga banyak membantu saya mendapatkan maklumat yang diperlukan,” katanya.
Petugas NADI FELDA Cherul, Nor Zalilah Mohd Nordin pula berkata, peruntukan itu mampu meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan kepada komuniti.
“Dengan adanya peruntukan ini, kita boleh menambah baik peralatan dan perkhidmatan di NADI supaya lebih ramai komuniti dapat memanfaatkannya.
NADI juga menjadi satu-satunya pusat yang menyediakan kemudahan internet dan pendigitalan kepada warga FELDA Cherul,” katanya.
Dua hari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15.85 juta bagi melaksanakan program Literasi Digital di 317 tanah rancangan FELDA.
Pengumuman itu dibuat sempena Sambutan Hari Peneroka dan ulang tahun ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.