
PETALING JAYA, 8 JULAI – Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media antarabangsa bagi memperkasakan industri penyiaran serta pembangunan kandungan berkualiti tinggi.
- CON-FEST 2026 menjadi medium penting mengeratkan hubungan organisasi media serantau bagi mencari penyelesaian kepada cabaran landskap media.
- RTM menghargai kesediaan media antarabangsa termasuk Australia, Kemboja dan Vietnam untuk kerjasama dalam pembangunan kandungan dan penciptaan bersama.
- Ashwad menegaskan pintu terbuka RTM kepada semua pihak yang ingin bekerjasama bagi mempromosi dan memajukan kepentingan Malaysia.
- Kerjasama kerajaan, sektor swasta dan pemain industri ditekankan penting untuk menghasilkan kandungan berkualiti serta memastikan daya saing penyiaran negara.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, platform Festival Kandungan Asia-Pasifik (CON-FEST) 2026 anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) menjadi medium penting untuk mengeratkan hubungan antara organisasi media serantau dalam usaha mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran landskap media yang semakin kompleks.
Menurut beliau, RTM menghargai kesediaan beberapa organisasi media antarabangsa termasuk dari Australia, Kemboja dan Vietnam untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat, khususnya dalam pembangunan kandungan dan pendekatan penciptaan bersama merentas sempadan.
“Seperti yang mereka nyatakan, saya dan pihak RTM amat terbuka terhadap sebarang bentuk kerjasama. Kami membuka pintu seluas-luasnya kepada semua pihak yang ingin bekerjasama.
“Ini juga merupakan peluang terbaik untuk mempromosi serta memajukan kepentingan Malaysia menerusi kerjasama dalam aspek kandungan, media dan usaha mencari formula yang lebih strategik bagi mendepani landskap industri yang sentiasa berubah.
“Saya amat berbesar hati dengan hasrat mereka untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat bersama Radio Televisyen Malaysia,” katanya selepas menghadiri CON – FEST 2026 di sini.
Sementara itu, Ashwad menegaskan, kerjasama antara media kerajaan, sektor swasta dan pemain industri amat penting bagi menghasilkan kandungan berkualiti serta memastikan industri penyiaran negara terus berkembang dan berdaya saing.
CON-FEST 2026 berlangsung selama tiga hari sehingga Khamis menghimpunkan lebih 300 penggiat industri media, kreatif dan kandungan digital global.
Edisi ketiga festival itu bertemakan “Next-Gen Content and Culture” menampilkan 55 penceramah menerusi pelbagai sesi forum, bengkel interaktif dan perkongsian industri.
Antara pengisian utama program termasuk perbincangan mengenai hak cipta, animasi, mikrodrama, peranan media ketika bencana serta perkembangan saluran televisyen percuma berasaskan sokongan iklan atau FAST Channels.