Mangsa scam digalak hubungi 997 segera sekat transaksi

Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil/Foto RTM

GEORGE TOWN, 6 Julai – Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian atau scam digesa segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat transaksi dan akaun yang terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan pantas penting untuk menghalang wang mangsa dipindahkan atau disalahgunakan oleh sindiket.
  • Jangan mudah terpedaya oleh tawaran keuntungan luar biasa atau janji manis di platform dalam talian.
  • Pihak berkuasa bekerjasama dengan institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi untuk menyekat akaun serta transaksi segera.

Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan wang mangsa terus dipindahkan atau disalahgunakan oleh sindiket.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran keuntungan luar biasa atau janji manis di platform dalam talian yang sering digunakan sebagai helah untuk memperdaya mangsa.

“Sekiranya kita menjadi mangsa scam, kita boleh menghubungi talian 997 yang beroperasi 24 jam. Sebaik panggilan dibuat, akaun yang terlibat boleh disekat serta-merta oleh pihak berkaitan termasuk institusi kewangan.

“NSRC bekerjasama rapat dengan semua institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan cepat. Sebab itu, mangsa perlu segera menghubungi talian tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM Pulau Pinang selepas menjadi tetamu program Bicara Prisma terbitan Mutiara FM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.