
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperkenalkan penggunaan MyKad dengan ciri kod QR bagi urusan pembelian minyak masak paket bersubsidi.
- KPDN bercadang memperkenalkan MyKad berkod QR bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi sedang diperhalusi.
- Cadangan diperhalusi melalui libat urus dengan JPN dan peruncit untuk atasi kekangan penggunaan peranti sedia ada.
- Peranti semasa untuk SARA dan STR hanya boleh digunakan oleh penerima bantuan, tidak sesuai untuk orang awam.
- MyKad berkod QR membolehkan peranti mengenal pasti kelayakan pembelian dan mengatasi kekangan sistem sedia ada.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata cadangan itu sedang diperhalusi menerusi libat urus bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak peruncit bagi mengatasi kekangan penggunaan peranti sedia ada.
Menurut beliau, peranti yang digunakan ketika ini bagi penyaluran Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) hanya boleh digunakan oleh penerima bantuan berkenaan, sekali gus tidak sesuai untuk urusan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh pengguna lain.
“Kita sebenarnya memerlukan satu peranti yang boleh membaca MyKad. Peranti yang digunakan bagi SARA dan STR ketika ini hanya boleh digunakan oleh penerima bantuan tersebut, jadi ia tidak boleh digunakan oleh orang ramai yang ingin membeli minyak masak paket bersubsidi.
“Justeru, KPDN bercadang menggunakan MyKad dengan ciri baharu yang mempunyai kod QR. Melalui kaedah itu, peranti dapat mengenal pasti kelayakan pembelian minyak masak paket bersubsidi dan sekali gus mengatasi kekangan sistem sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, berhubung status penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi selain aplikasi sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) di Dewan Rakyat, hari ini.