
SEBERANG JAYA, 20 Jun – Siaran percuma Piala Dunia 2026 menerusi RTM dan platform RTM Klik bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat bola sepak, malah membawa limpahan ekonomi kepada negara terutamanya industri makanan dan minuman (F&B).
- Usaha ini membantu mengurangkan kos operasi premis yang menayangkan perlawanan.
- Peniaga maklum inisiatif pertama kali diadakan lebih dua dekad.
- PRESMA: langkah kerajaan membawa penjimatan besar kepada peniaga F&B.
- Fahmi hadir Program Jiwa@Sembang Santai di Pasar Awam, kira-kira sejam beramah mesra dengan peminat; turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penerimaan orang ramai terhadap siaran percuma kejohanan berprestij itu amat menggalakkan, selain membantu mengurangkan kos operasi premis yang menayangkan perlawanan kepada pelanggan.
“Saya melihat penerimaan terhadap siaran percuma ini sangat baik. Ada peniaga yang maklumkan, usaha ini pertama kali diadakan dalam tempoh lebih dua dekad.
“Semalam, saya juga bertanyakan kepada wakil Persatuan Restoran India Muslim (PRESMA) yang memaklumkan memang langkah diambil oleh kerajaan ini membawa penjimatan besar untuk mereka. Justeru, kita berharap dapat membantu industri F&B untuk menarik lebih ramai penonton dan juga pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jiwa@Sembang Santai Edisi Khas Piala Dunia di Pasar Awam di sini.
Pada program berkenaan, Datuk Fahmi turut meluangkan masa kira-kira sejam bagi beramah mesra dengan peminat bola sepak yang hadir sejak 8 pagi tadi untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026 antara Brazil dan Haiti.
Turut hadir sama ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.