Integriti, amanah tunjang kekuatan PDRM

Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 15 Jun – Integriti dan amanah perlu terus menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan pasukan keselamatan bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan terus dipertahankan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata kekuatan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, bangunan atau aset yang canggih, sebaliknya ditentukan oleh tahap integriti dan kejujuran anggotanya.

Katanya, sesebuah organisasi boleh mempunyai pengalaman, kemahiran dan aset yang lengkap, namun jika tiada integriti semuanya tidak mempunyai nilai.

“Jika integriti runtuh, sehebat mana pun kemudahan yang dimiliki, kepercayaan rakyat akan hilang. Jika kita kehilangan harta, kita tidak kehilangan apa-apa. Jika kita kehilangan kesihatan, kita kehilangan sesuatu, tetapi jika kita kehilangan karakter, kita kehilangan segala-galanya.

“Itulah pentingnya integriti dan nilai moral dalam kehidupan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad.

Ayob Khan berkata amanah yang dipikul oleh setiap anggota pasukan juga perlu sentiasa dijaga dan tidak boleh dikompromi.

Beliau dalam pada itu berkata tiada toleransi terhadap salah guna kuasa, rasuah atau sebarang bentuk pelanggaran disiplin yang boleh menjejaskan imej pasukan serta kepercayaan masyarakat.

“Jangan sesekali menjadikan pangkat sebagai perlindungan daripada tindakan undang-undang. Sesiapa yang mengkhianati amanah rakyat perlu berdepan tindakan yang sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata cabaran keselamatan masa kini semakin kompleks apabila pihak berkuasa bukan lagi hanya berdepan jenayah konvensional, sebaliknya ancaman baharu seperti jenayah siber, sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan rentas sempadan dan jenayah transnasional.

Sehubungan itu beliau berkata pasukan polis perlu terus memperkukuh keupayaan operasi dan penyiasatan menerusi pendekatan yang lebih proaktif, pantas serta berasaskan data bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.