Fenomena El Nino : Pengurusan air penting hadapi impak ekonomi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kecekapan dalam pengurusan sumber air dilihat menjadi kunci utama bagi mengurangkan impak ekonomi sekiranya fenomena El Niño yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun 2027 melanda negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengalaman cuaca ekstrem perlu dijadikan panduan untuk memperkukuh kesiapsiagaan semua sektor.
  • Industri dan masyarakat mesti lebih berdisiplin dalam penggunaan air untuk mengurangkan kesan kekurangan bekalan.
  • Sektor perhotelan dicontohi kerana menyimpan dan guna semula air hujan untuk siraman landskap.
  • El Niño berpotensi mengurangkan hujan sehingga 50% menjejaskan pengeluaran pertanian, bekalan dan menaikkan harga makanan.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md Yasin berkata, pengalaman negara berdepan cuaca ekstrem sebelum ini wajar dijadikan panduan untuk memperkukuh kesiapsiagaan semua sektor.

Menurut beliau, industri dan masyarakat perlu lebih berdisiplin dalam mengurus penggunaan air bagi memastikan kesan kekurangan bekalan dapat diminimumkan.

Beliau turut menyifatkan sektor perhotelan sebagai antara contoh terbaik dalam melaksanakan amalan pengurusan air secara lestari dan proaktif.

“Sebagai contoh, industri perhotelan khususnya resort yang mempunyai kawasan landskap luas kini lebih proaktif dengan menyimpan air hujan untuk tujuan siraman tanaman. Inisiatif menggunakan semula air ini membolehkan mereka mengurangkan kebergantungan kepada air paip ketika bekalan sumber itu menyusut pada musim panas,” katanya ketika dihubungi RTM.

Menurutnya, amalan tersebut wajar dicontohi oleh industri lain dengan merangka strategi pengurusan air yang lebih berkesan bagi memastikan penjimatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau berkata fenomena El Niño berpotensi mengurangkan jumlah hujan sehingga 50 peratus, sekali gus memberi kesan kepada sektor pertanian.

Keadaan itu, jelasnya, boleh menyebabkan pengeluaran hasil pertanian menurun, seterusnya mengganggu bekalan di pasaran dan mendorong kenaikan harga barangan makanan.

Fenomena El Niño dijangka bermula bulan hadapan sebelum berterusan sekurang-kurangnya sehingga awal tahun 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.