PM tiba di Jepun untuk lawatan rasmi

FOTO BERNAMA

TOKYO, 8 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Jepun pada Isnin (8 Jun) untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk 'Humanity in a Human-Machine Civilisation' pada 9 Jun.
  • Menghadiri sesi meja bulat dengan 29 pemimpin perniagaan meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi di Malaysia.
  • Menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei dan bertemu Perdana Menteri Jepun untuk memuktamadkan kenyataan bersama.

Pesawat khas membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Ota, di sini kira-kira pukul 8.20 malam waktu tempatan.

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim serta pegawai kanan kerajaan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Naib Menteri Luar Parlimen Jepun, Tomoaki Shimada dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Turut hadir menyambut ketibaan Datuk Seri Anwar, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

Pada Selasa (9 Jun), Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk ‘Humanity in a Human-Machine Civilisation’.

Beliau juga akan menghadiri Sesi Meja Bulat bersama 29 tokoh-tokoh perniagaan dan pemimpin industri di Jepun bagi meneroka peluang-peluang pelaburan bernilai tinggi yang baharu di Malaysia.

Usaha itu memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dan memperkasa dialog bersama pihak Jepun serta rantau yang lebih luas.

Seterusnya pada Rabu (10 Jun), Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertemakan Navigating Strategic Uncertainty.

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, sekali gus memberi peluang kepada Kuala Lumpur-Tokyo untuk merintis kerjasama baharu dalam pelbagai sektor.

Semasa lawatan ini, Malaysia-Jepun bakal memuktamadkan satu kenyataan bersama bagi tujuan menterjemahkan komitmen kepimpinan kedua-dua negara dalam usaha melonjakkan kerjasama dua hala ke tahap yang lebih tinggi.

Ia selaras dengan hubungan dua hala yang telah dinaik taraf ke tahap ‘Comprehensive Strategic Partnership’ dan memperlihatkan hubungan strategik kedua-dua negara di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Sebagai rekod, Jepun terus menjadi salah satu rakan kongsi ekonomi Malaysia paling penting, menduduki tempat sebagai rakan dagang kelima terbesar negara di dunia sejak 2024.

Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala berjumlah RM142.96 bilion (US$33.39 bilion), setakat Disember 2025, sejumlah 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion (US$31.0 bilion).

Projek-projek itu telah menjana 347,346 peluang pekerjaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.