Malaysia sokong usaha OPEC+ perkukuh kestabilan pasaran minyak global

Foto FB Kementerian Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Malaysia sokong usaha bersepadu dalam kerangka Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya dikenali sebagai OPEC+ bagi mempromosikan kestabilan pasaran dan keselamatan tenaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia komited bekerjasama rapat dengan negara anggota untuk memperkukuh kerjasama dalam tenaga, perdagangan dan pelaburan.
  • Malaysia komited mematuhi sasaran pengeluaran minyak tahun ini dan akan terus terlibat secara konstruktif dalam perbincangan.
  • Tekankan penilaian Kapasiti Mampan Maksimum untuk tingkatkan ketelusan, sokong perancangan bekalan jangka panjang dan Piagam Kerjasama CoC.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ke hadapan, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga, perdagangan dan pelaburan.

“Sebagai negara pengeluar minyak dan pada masa yang sama pengimport bersih tenaga, Malaysia melihat kestabilan pasaran sebagai elemen penting bukan sahaja untuk keyakinan global, malah bagi menyokong pengeluaran domestik, perancangan pelaburan serta keselamatan tenaga jangka panjang negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Malaysia juga kekal komited untuk mematuhi sasaran pengeluaran minyak yang ditetapkan bagi tahun ini, selain meneruskan penglibatan secara konstruktif dalam perbincangan berkaitan.

“Usaha ini bagi memastikan sebarang semakan asas pengeluaran pada masa hadapan di bawah kerangka Kapasiti Mampan Maksimum (MSC) dilaksanakan secara adil, realistik dan mencerminkan prospek pengeluaran negara-negara peserta selepas tahun 2026,” katanya dalam kenyataan sama.

Beliau menyatakan komitmen itu ketika Mesyuarat Menteri-Menteri OPEC dan Bukan OPEC (ONOMM) ke-41 yang berlangsung secara hibrid, sekali gus menegaskan pendirian Malaysia terhadap langkah kolektif bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil dan terjamin.

Delegasi Malaysia diketuai beliau bersama negara-negara pengeluar minyak utama terlibat bagi membincangkan isu berkaitan kestabilan pasaran minyak global dan keselamatan bekalan tenaga.

Antara fokus utama mesyuarat adalah penilaian MSC dalam kalangan negara peserta iaitu rangka kerja yang digunakan untuk menilai keupayaan pengeluaran jangka panjang negara-negara peserta.

Jelas beliau, mekanisme tersebut dapat meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh penilaian asas pengeluaran serta menyokong perancangan bekalan yang lebih teratur dan boleh dijangka pada masa hadapan.

Malaysia turut menegaskan sokongan terhadap Piagam Kerjasama (CoC), iaitu rangka kerja kerjasama lebih luas dalam kalangan negara OPEC+.

Ia dibangunkan berasaskan Deklarasi Kerjasama 2016 dan diperluas merangkumi aspek pembangunan teknologi, pengurangan pelepasan karbon serta inisiatif peralihan tenaga global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.