
TANAH MERAH, 8 Jun – Helah dua warga Myanmar dipercayai menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu terbongkar selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lalang Pepuyu, malam tadi.
- Semakan kod bar mendapati satu kad UNHCR sah, dua lagi disyaki palsu.
- Pemandu ditahan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang tanpa izin; dua lagi disyaki guna dokumen palsu.
- Sebuah kereta dan empat telefon dirampas bernilai kira-kira RM44,000; semua suspek diserahkan kepada BSJD IPD Tanah Merah untuk siasatan.
Tiga lelaki warga Myanmar berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan selepas anggota PGA memeriksa sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek mengemukakan kad UNHCR ketika diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri.
“Hasil semakan melalui kod bar mendapati kad UNHCR milik seorang lelaki berusia 28 tahun masih sah, namun dua lagi kad yang dikemukakan oleh lelaki berusia 23 dan 21 tahun disyaki palsu.
“Pemandu kenderaan ditahan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pendatang tanpa izin manakala dua lagi suspek ditahan kerana disyaki menggunakan dokumen palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemandu terbabit memasuki Malaysia pada 2019 melalui Pulau Langkawi sebelum bekerja sebagai buruh binaan di Johor Bahru dan kemudiannya berpindah ke Kajang, Selangor.
“Dua lagi suspek juga bekerja sebagai buruh binaan di Kajang dan mendakwa mereka dalam perjalanan ke Kelantan untuk melawat saudara yang sakit di Batu Karang, Pasir Mas.
“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut yang dijalankan anggota PGA di lokasi yang diberikan mendapati rumah yang dimaksudkan tidak wujud,” katanya.
Sebuah kereta dan empat telefon bimbit dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM44,000.
Ahmad Radzi berkata, semua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.