Malaysia, OPEC+ semak kuota pengeluaran minyak demi kestabilan pasaran global – Akmal

Ihsan FB Akmal Nasir

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Malaysia sedang menilai penetapan kuota baharu pengeluaran minyak mentah bersama negara-negara pengeluar minyak lain menerusi platform Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bagi memastikan kestabilan harga minyak dunia serta melindungi kepentingan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketidaktentuan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat, terus memberi kesan dan tekanan kepada pasaran tenaga antarabangsa.
  • Malaysia tekankan usaha mempertahankan kepentingan negara dan kesinambungan bekalan minyak semasa mesyuarat, walaupun delegasi hadir secara dalam talian.
  • Perjanjian kerahsiaan (NDA) ditandatangani untuk memastikan keputusan kuota mencerminkan kepentingan Malaysia secara menyeluruh.

Perbincangan itu dilaksanakan ketika ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat, terus memberi kesan kepada pasaran tenaga antarabangsa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir Mohd Nasrullah berkata, setiap negara akan diberikan kuota tertentu bagi memastikan harga minyak mentah dunia kekal stabil.

Walaupun delegasi Malaysia akan mengikuti mesyuarat yang berlangsung di Vienna, Austria secara dalam talian, tumpuan utama diberikan kepada usaha memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam penetapan kuota baharu itu.

“Keadaan bertambah genting dan situasi semasa tidak lagi boleh dianggap sebagai urusan biasa berikutan impak konflik geopolitik yang memberi tekanan kepada sektor tenaga global.

Kami sedang mengurus perkara ini dengan teliti bagi memastikan kepentingan Malaysia dalam penentuan kuota pengeluaran minyak mentah terus dipertahankan, sekali gus menjamin kesinambungan bekalan minyak negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam perkembangan berkaitan ujarnya, perjanjian kerahsiaan (NDA) berhubung proses penetapan kuota pengeluaran minyak mentah sedia ada telah ditandatangani bagi memastikan keputusan yang dicapai mencerminkan kepentingan Malaysia secara menyeluruh.

Malaysia turut menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan minyak mentah negara kekal stabil walaupun berdepan cabaran krisis tenaga global.

Mesyuarat penuh bersama negara anggota OPEC+ dijadualkan berlangsung hari ini bagi memuktamadkan beberapa perkara berkaitan kuota pengeluaran minyak mentah negara-negara anggota.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.