MADA komited pastikan pengeluaran padi lalui pemantauan berterusan

Foto hiasan

ALOR SETAR, 4 Jun – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus komited dalam memastikan kelangsungan pengeluaran padi negara melalui pemantauan berterusan terhadap status bekalan air dan kemajuan aktiviti penanaman di kawasan jelapang agensi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah takungan tiga empangan direkodkan 504,535 ekar kaki bersamaan 41.25 peratus.
  • Operasi pelepasan air dari Empangan Pedu dan Ahning diteruskan secara terkawal pada 1,000 kaki padu sesaat memastikan bekalan domestik dan industri stabil.
  • Kemajuan aktiviti padi Musim 1/2026: pratepuan 99.5%, penyediaan tanah 84.8% dan penanaman 12.5%, didorong bekalan air mencukupi.

MADA dalam kenyatan m emaklumkan, pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan setiap peringkat aktiviti penanaman dapat dijalankan dengan teratur serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sehingga semalam, kedudukan semasa takungan air keseluruhan bagi tiga empangan di bawah seliaan MADA direkodkan sebanyak 504,535 ekar kaki bersamaan 41.25 peratus.

“Empangan Pedu merekodkan kapasiti sebanyak 375,595 ekar kaki bersamaan 42.93 peratus, Empangan Muda sebanyak 15,050 ekar kaki bersamaan 12.04 peratus dan Empangan Ahning sebanyak 113,890 ekar kaki bersamaan 51.07 peratus.

“Catatan hujan harian di kawasan tadahan empangan, sebanyak 9.8 milimeter direkodkan di Empangan Pedu, Empangan Muda 11.6 milimeter dan Empangan Ahning 18.0 milimeter,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, purata turunan hujan terkumpul di kawasan Muda sehingga 2 Jun lalu direkodkan sebanyak 637 milimeter.

Operasi pelepasan air dari Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih diteruskan secara terkawal dengan kadar pelepasan keseluruhan sebanyak 1,000 kaki padu sesaat bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan industri sentiasa berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.

Berdasarkan pemantauan semasa, kemajuan aktiviti penanaman padi Musim 1/2026 menunjukkan perkembangan yang positif. Sehingga semalam, fasa pratepuan telah mencapai 99.5 peratus Manakala fasa penyediaan tanah mencatatkan kemajuan sebanyak 84.8 peratus.

Bagi fasa penanaman pula, kemajuan yang direkodkan adalah sebanyak 12.5 peratus. Perkembangan itu didorong oleh bekalan air yang mencukupi di petak-petak sawah, sekali gus membolehkan aktiviti pratepuan, penyediaan tanah dan penanaman dilaksanakan dengan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.