
KUALA LUMPUR, 2 Jun -Malaysia memperkukuh komitmen untuk menangani isu doping dalam sukan menerusi penyertaan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Asia/Oceania ke-21 Mengenai Antidoping Dalam Sukan di Beijing, China sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Kod Anti-Doping Dunia 2027 dan penganjuran beberapa temasya sukan utama.
- Mesyuarat jadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau bagi menangani isu doping dan memastikan persaingan adil.
- Perkongsian pada mesyuarat penting untuk memastikan dasar Malaysia selaras dengan piawaian antarabangsa demi integriti sukan.
- Dr Mohammed Taufiq dan Pengarah ADAMAS bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik dengan pemimpin serantau.
- Penyertaan mesyuarat memberi pendedahan berharga, memperkukuh usaha KBS dan ADAMAS untuk menjaga sukan bersih menjelang SUKMA 2026 dan SEA 2027.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata mesyuarat itu menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam menangani isu doping dan memastikan setiap atlet dapat bersaing dalam suasana yang adil.
Beliau berkata perkongsian pada mesyuarat berkenaan juga penting bagi memastikan dasar yang dilaksanakan di Malaysia sentiasa selaras dengan piawaian antarabangsa terkini demi memelihara integriti sukan negara.
“Semalam saya menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Asia/Oceania ke-21 Mengenai Antidoping Dalam Sukan. Mesyuarat ini menghimpunkan negara-negara rantau Asia dan Oceania untuk berbincang mengenai isu doping dalam sukan menjelang Kod Anti-Doping Dunia 2027 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata sepanjang mesyuarat itu, beliau bersama Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Dr Azril Shazwan Mohd Ali turut bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik dengan pemimpin serta wakil negara-negara serantau.
“Penyertaan dalam mesyuarat kali ini pastinya memberikan pengalaman dan pendedahan yang amat berharga serta memperkukuhkan lagi usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi ADAMAS.
“Ini bagi memastikan sukan di Malaysia kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada doping, khususnya menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor pada Ogos ini, selain sebagai persediaan ke arah penganjuran Sukan SEA 2027,” katanya. – BERNAMA