
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini.
- Kerajaan MADANI dan rakyat mendoakan Seri Paduka dan Raja Permaisuri diberi keafiatan, dilindungi serta dirahmati Allah SWT.
- Doa agar Baginda kekal memayungi negara dengan adil dan saksama, serta memelihara peranan institusi diraja sebagai pelindung Islam dan lambang perpaduan.
- Rakyat menyatakan taat setia tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan; ucapan Dirgahayu Tuanku.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata beliau bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat, mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
“Semoga Baginda Tuanku kekal qarar memayungi negara dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan. Dirgahayu Tuanku!,” katanya.