Khaled Nordin suarakan amalan ‘double standard’ kuasa besar antarabangsa

Menteri Pertahanan menyampaikan pandangan Malaysia pada sesi plenari Shangri-La Dialogue 2026 di Singapura

SINGAPURA, 1 Jun – Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap tekanan geopolitik yang dihadapi negara kecil mengenai amalan ‘double standard’ dalam sistem antarabangsa ketika Dialog Shangri-La IISS di Singapura pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalan double standard kuasa besar memaksa negara kecil memilih pihak mengikut kepentingan mereka, menjejaskan kedaulatan ASEAN.
  • Pembatalan lesen eksport peluru berpandu NSM oleh Norway tunjukkan kelemahan kepercayaan dan pematuhan perjanjian antarabangsa.
  • Respons antarabangsa bercampur, negara membangun lebih dikecam manakala kuasa besar sering menghadapi tindakan lebih lembut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negara di rantau ASEAN kini berdepan tekanan secara langsung atau tidak langsung untuk memilih pihak tertentu mengikut kepentingan kuasa besar.

“Namun ASEAN tidak pernah dibina atas dasar paksaan,” katanya.

Menurutnya, situasi itu sekali gus menjejaskan kepercayaan global dan tidak konsisten dalam sistem antarabangsa.

Mohamed Khaled turut membangkitkan isu pembatalan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal (NSM) oleh Norway kepada Malaysia yang disifatkan sebagai kelemahan dalam kepercayaan serta pematuhan perjanjian antarabangsa.

“Apabila negara membangun melanggar sesuatu perjanjian, mereka akan menerima tekanan dan kecaman. Namun apabila perkara sama dilakukan negara berkuasa besar atau sekutunya, reaksi masyarakat antarabangsa jauh lebih perlahan dan tidak begitu tegas.

“Tindakan Norway bukan sekadar pertikaian kontrak dua hala, malah menunjukkan institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semakin lemah akibat persaingan geopolitik,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Norway Tore O. Sandvik telah menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaannya membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal kepada Malaysia.

Mohamed Khaled berkata permohonan maaf tersebut disampaikan oleh rakan sejawat beliau itu dalam pertemuan dua hala di luar sidang Dialog Shangri-La IISS ke-23.

Dialog Shangri-La yang berlangsung di Singapura dari 29 hingga 31 Mei menghimpunkan pemimpin kerajaan, ketua tentera dan pakar keselamatan bagi membincangkan pelbagai isu keselamatan di rantau Indo-Pasifik. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.