
SUNGAI PETANI , 24 Mei – Seramai 13 individu termasuk seorang wanita tempatan dan seorang warga asing telah menjalani Hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Negeri Kedah Siri Ke-9 di kawasan peranginan Pantai Merdeka, di sini.
- Pesalah diperintahkan mahkamah melaksanakan khidmat masyarakat di bawah pengawasan anggota penguatkuasa SWCorp.
- Kerja melibatkan menyapu, mengutip sampah dan mencuci kemudahan awam sekitar kawasan Pantai Merdeka.
- Di bawah Akta 672, pesalah buang sisa boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau khidmat masyarakat maksimum 12 jam atau kedua-duanya.
SWCorp Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan pesalah yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun itu melibatkan 12 warga tempatan serta seorang warga Bangladesh.
Kesemua mereka sebelum ini telah diperintahkan oleh mahkamah untuk melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat di bawah pengawasan ketat anggota penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Hukuman tersebut melibatkan kerja-kerja pembersihan kawasan awam termasuk menyapu, mengutip sampah, dan mencuci kemudahan awam di sekitar kawasan pantai berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, kesemua pesalah telah menjalani hukuman masing-masing dengan mematuhi segala prosedur serta peraturan yang telah ditetapkan.
Di bawah penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat selaras dengan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lepas, individu yang disabitkan kesalahan membuang sisa pepejal di tempat awam boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau bon khidmat masyarakat selama maksimum 12 jam, atau kedua-duanya sekali.