
KEMAMAN, 23 Mei – Pengunjung Pantai Kuala Kertih di sini gempar apabila seekor buaya air masin dilihat muncul di kawasan pantai berkenaan sejak beberapa hari lalu.
- Reptilia dilaporkan timbul di permukaan air sekurang-kurangnya tiga kali, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.
- Pihak berkuasa telah memasang papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan dan peringatan kepada orang ramai.
- Orang ramai dinasihatkan tidak menghampiri kawasan air, sentiasa memantau anak-anak dan patuhi arahan keselamatan.
- Saksi diminta segera melaporkan kelibat reptilia kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera boleh diambil.
Reptilia itu dipercayai timbul di permukaan air sekurang-kurangnya tiga kali sejak Selasa lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung dan penduduk setempat.
Tinjauan di lokasi mendapati pihak berkuasa telah memasang papan tanda amaran sebagai langkah keselamatan dan peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati.
Walaupun kawasan pantai itu masih menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah, mandi-manda dan memancing terutama pada waktu petang, pengunjung mengakui bimbang dengan kehadiran reptilia berkenaan.
Seorang pengunjung, Siti Zaharah Abdullah berkata, kehadiran buaya di kawasan pantai amat membimbangkan kerana lokasi itu sering menjadi tempat aktiviti riadah keluarga.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Afzanizam Ramli berkata, ibu bapa perlu lebih berhati-hati ketika membawa anak-anak ke kawasan pantai kerana dikhuatiri boleh mengundang bahaya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Salmah Muda menasihatkan orang ramai supaya tidak berada terlalu hampir dengan gigi air dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak ketika berada di pantai.
Pengunjung turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan air sekiranya terlihat kelibat buaya selain mematuhi arahan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya ternampak reptilia itu bagi membolehkan tindakan segera diambil.