
LONDON, 16 Mei – Pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez mengakui kekalahan 2-4 kepada Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Jumaat sebagai sesuatu yang mengecewakan ketika pasukannya terus bergelut memburu slot Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
- Liverpool jatuh ke tangga kelima, berisiko dipintas Bournemouth dan Brighton.
- Kekalahan menunjukkan pasukan hilang fokus pada saat penting; perbezaan dalam liga sangat kecil.
- Pasukan mesti menewaskan Brentford di aksi terakhir untuk capai keputusan positif.
- Berisiko menamatkan musim tanpa trofi; sasaran menutup musim dengan persembahan lebih meyakinkan untuk penyokong.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool jatuh ke tangga kelima liga dan kini berdepan risiko dipintas Bournemouth serta Brighton & Hove Albion dalam perebutan kelompok lima terbaik.
Villa berjaya membolosi pertahanan Liverpool sebanyak empat kali, sekali gus menghadiahkan kekalahan liga ke-12 musim ini buat kelab Merseyside itu yang hanya meraih satu mata daripada tiga perlawanan terakhir.
“Ia mengecewakan kerana kami hilang fokus pada saat penting. Dalam Liga Perdana, perbezaannya sangat kecil dan itu yang menambah kekecewaan kami,” kata Gomez dalam temu bual bersama laman rasmi kelab.
Menurut pemain berusia 28 tahun itu, Liverpool tidak boleh terus meratapi kekalahan tersebut sebaliknya perlu bangkit untuk memastikan kemenangan ke atas Brentford dalam aksi terakhir musim ini.
“Kami tahu apa yang perlu dilakukan minggu depan dan kami mesti menewaskan Brentford di laman sendiri,” katanya.
Liverpool turut berdepan kemungkinan menamatkan musim tanpa trofi di bawah di Pengurus Arne Slot.
Gomez berkata pasukan itu juga mahu memberikan sesuatu yang positif kepada penyokong menerusi corak permainan dan persembahan lebih meyakinkan pada aksi terakhir nanti.
“Kami mahu menutup musim ini dengan keputusan yang positif. Itu sasaran utama kami,” katanya lagi.
Liverpool akan menjadi tuan rumah kepada Brentford pada 24 Mei.-REUTERS