Kerajaan teliti perluasan subsidi diesel, pastikan tiada golongan tercicir

Foto Bernama

SUNGAI PETANI, 12 April – Kerajaan sedang meneliti secara komprehensif cadangan untuk memperluaskan pelaksanaan subsidi diesel bagi memastikan lebih banyak golongan terkesan, termasuk petani mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mendengar keluhan kumpulan terjejas dan menilai kaedah bantuan termasuk subsidi bersasar dan penggunaan kad armada.
  • Kejayaan BUDI95 dijadikan rujukan untuk merangka pelaksanaan subsidi diesel lebih cekap, mudah dan lancar.
  • Cabaran fiskal dipertimbang; kerajaan akan rasionalisasi subsidi, berjimat serta kuatkuasakan langkah kawal ketirisan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kerajaan sentiasa mendengar keluhan kumpulan itu yang terjejas akibat kenaikan harga diesel dan kini sedang mengenal pasti kaedah membantu mereka.

Beliau berkata antara yang diteliti pelaksanaan subsidi bersasar seperti dalam program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), selain perluasan penggunaan kad armada atau fleet card kepada golongan lain yang sebelum ini tidak menerima kemudahan berkenaan, termasuk petani.

“Jadi, itu semua dalam kajian termasuk keluhan daripada golongan petani yang ada sebahagiannya tidak subscribe kepada skim yang ada sekarang ini tetapi mereka ini terkesan.

“Kerajaan sedang meneliti secara komprehensif keseluruhan perkara ini supaya tidak ada mana-mana pihak yang kemudian tertinggal apabila kajian dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Perpaduan Raya Segayong di Gurun di sini malam tadi.

Beliau berkata kejayaan pelaksanaan program BUDI95 yang mencatatkan masalah minimum menjadi rujukan penting dalam merangka pendekatan baharu bagi perluasan subsidi diesel, dengan penekanan kepada pelaksanaan yang lebih cekap, mudah dan lancar.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut mengambil kira cabaran fiskal semasa apabila perbelanjaan bagi menampung kenaikan mendadak harga minyak daripada kira-kira RM700 juta kepada RM6 bilion.

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen besar kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terkesan secara serius akibat kenaikan harga minyak global namun pada masa sama kita perlu menilai keupayaan kewangan semasa,” katanya.

Muhammad Kamil berkata langkah rasionalisasi subsidi, penjimatan perbelanjaan serta penguatkuasaan bagi mengawal ketirisan sebelum ini membolehkan negara menampung kesan kenaikan harga minyak global setakat ini.

“Tapi kalau kosnya terus meningkat, saya tidak fikir kita wajar untuk terus berada dalam keadaan sekarang ini, sebaliknya kita perlu melakukan penyesuaian dan berganjak sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa,” katanya.

Mengenai isu perkhidmatan feri ke Langkawi yang turut terkesan, beliau berkata perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan yang akan menilai sebarang cadangan penambahbaikan, termasuk implikasi terhadap sektor pelancongan di pulau peranginan itu.-BERNAMA