
MELAKA, 10 April – Pembenihan awan kali kedua akan dilakukan di Melaka, selepas hasil awal didapati kurang memberangsangkan.
- Percubaan pertama kurang berjaya kerana pergerakan angin menyebabkan hujan tidak turun di kawasan sasaran.
- Ketua Menteri memaklumkan percubaan kedua dan ketiga akan dijalankan sehingga paras air empangan meningkat.
- Kerjasama dengan TUDM, METMalaysia dan NADMA untuk melaksanakan pembenihan awan memenuhi keperluan air Melaka.
- Usaha ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber air luar seperti Sungai Gersik dan menstabilkan bekalan tempatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, percubaan pertama kurang berhasil ekoran faktor pergerakan angin yang menyebabkan hujan tidak turun di kawasan sasaran.
“Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) telah memaklumkan kepada saya untuk melakukan percubaan kali kedua dan ketiga sehingga paras air empangan dapat dipertingkat.
“Kita akan bekerjasama dengan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) untuk melaksanakan proses ini sehingga keperluan air di negeri Melaka dapat dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha ini penting bagi membantu Melaka mengurangkan kebergantungan kepada sumber air luar seperti Sungai Gersik di Muar, Johor, selain memastikan bekalan air tempatan lebih stabil.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, masalah bekalan air negara ini dijangka pulih secara berperingkat menjelang bulan depan.
Ia berikutan kejayaan pembenihan awan di beberapa negeri di utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah dan utara Perak yang menyaksikan peningkatan taburan hujan antara 3.5 milimeter hingga 10 milimeter di kawasan yang disasarkan, sekali gus meningkatkan paras air empangan.