Agihan Zakat MAINPP meningkat 23% pada 2025

Jumlah penerima zakat turut meningkat tiga peratus/ Foto Zakat MAINPP


BUKIT MERTAJAM, 10 April
– Sejumlah RM200.11 juta wang zakat telah diagihkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada tahun lepas berbanding RM162.13 juta pada tahun sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah penerima zakat meningkat tiga peratus kepada 45,831 individu atau institusi.
  • Kategori asnaf fisabilillah menerima agihan tertinggi, diikuti kategori asnaf miskin.
  • Kutipan zakat naik 17 peratus kepada RM202 juta walaupun bilangan muzakki menurun lapan peratus.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, ia menyaksikan peningkatan sebanyak 23 peratus dengan jumlah penerima zakat turut meningkat tiga peratus.

“Jumlah penerima zakat iaitu mustahik meningkat kepada 45,831 individu atau institusi berbanding 44,484 pada tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus,” katanya.

Menurut beliau, kategori asnaf fisabilillah menerima agihan tertinggi iaitu RM95.59 juta atau 47.8 peratus daripada jumlah keseluruhan agihan, diikuti kategori asnaf miskin sebanyak RM46.95 juta atau 23.5 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan komitmen berterusan MAINPP dalam menyalurkan zakat secara bersasar dan berimpak tinggi.

Datuk Dr Mohamad berkata demikian dalam sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan 2025 di ibu pejabat Zakat MAINPP di sini.

Dalam sidang media sama, beliau turut mengumumkan prestasi kutipan zakat pada tahun lepas yang merekodkan kenaikan sebanyak 17 peratus kepada RM202 juta berbanding RM172 juta pada tahun sebelumnya, walaupun bilangan pembayar zakat muzakki menurun lapan peratus daripada 907,613 orang kepada 830,947.