Konflik Asia Barat: China tekankan kepentingan penyelesaian diplomatik

Anggota polis antirusuhan berbaris di sepanjang sebuah jalan berhampiran lokasi yang dijangka menjadi lokasi rundingan Amerika Syarikat-Iran di kawasan Zon Merah, Islamabad. Foto AFP

ISTANBUL, 10 April – China menekankan kepentingan penyelesaian diplomatik bagi menamatkan konflik bersenjata di Asia Barat, ketika delegasi dari Amerika Syarikat (AS) dan Iran dijadual mengadakan rundingan di Pakistan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mao Ning menggesa penyelesaian pertikaian melalui saluran politik dan diplomatik.
  • Gesaan supaya pertempuran dihentikan serta keamanan dan kestabilan segera dipulihkan di Asia Barat.
  • Israel meningkatkan serangan ke atas Lubnan walaupun usaha gencatan senjata AS-Tehran masih dijalankan.
  • Tehran enggan rundingan damai dengan AS selagi Israel terus mengebom Lubnan; Washington dan Tehran mengumumkan gencatan dua minggu.

Berkaitan situasi di Lubnan, jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning turut menggesa pihak berkaitan menyelesaikan pertikaian menerusi saluran politik dan diplomatik.

“Pertempuran perlu dihentikan, selain keamanan dan kestabilan segera dipulihkan di Asia Barat,” gesanya.

Israel meningkatkan serangan ke atas Lubnan ketika usaha diplomatik berkaitan gencatan senjata dua minggu yang diumumkan pada Selasa oleh AS dan Iran masih berlangsung.

Sementara pengantara Pakistan dan Tehran berkata gencatan senjata itu turut meliputi Lubnan, namun Tel Aviv menafikannya.

Menurut laporan Agensi Berita Fars Iran, Tehran tidak bercadang menghadiri rundingan damai dengan AS selagi Israel tidak menghentikan pengeboman ke atas Lubnan.

Ketegangan di rantau itu memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang menyebabkan ribuan terbunuh dan cedera.

Washington dan Tehran pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu yang bertujuan membuka laluan ke arah perjanjian muktamad untuk menamatkan perang.