
KUALA LUMPUR, 10 April – Cadangan melaras semula harga petrol RON95 kepada RM2.05 seliter berbanding RM1.99 seliter ketika ini wajar dilaksana bagi mengurangkan tekanan fiskal negara, khususnya dalam persekitaran harga minyak global yang dijangka kekal tinggi.
- Kenaikan harga yang terlalu minimum tidak akan mengurangkan tekanan fiskal secara signifikan.
- Cadangan pelarasan lebih munasabah dan dikekalkan sehingga krisis tenaga pulih, elak kenaikan berulang kali, disertai komunikasi dasar yang jelas.
- Segala pelarasan harga perlu disertai langkah perlindungan untuk golongan rentan, contohnya bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah.
Bagaimanapun, Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berpandangan, kenaikan minimum membabitkan 0.06 sen belum dapat memberi impak fiskal yang signifikan.
Justeru, beliau mencadangkan kenaikan pada kadar lebih munasabah dan dikekalkan sehingga situasi krisis tenaga kembali pulih berbanding meningkatkannya berulang kali.
“Pendekatan kenaikan yang terlalu minimum bukan sahaja kurang efektif dari sudut pengurangan subsidi, malah berisiko memperkukuh sentimen negatif dalam kalangan pengguna.
“Dalam konteks ini, pelarasan lebih tegas dan jelas, disertai komunikasi dasar yang baik adalah lebih konsisten dengan realiti fiskal serta bagaimana rakyat membentuk persepsi terhadap perubahan harga,” katanya kepada RTM.
Tambahnya, sebarang pelarasan yang membabitkan kenaikan harga perlu disertai langkah perlindungan kepada golongan rentan.
Ini termasuk melalui bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi memastikan pendekatan subsidi lebih bersasar dan efisien.