N.Sembilan laksana BDR dua hari seminggu berkuat kuasa 15 April

Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN, 8 April- Kerajaan Negeri Sembilan akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dua hari seminggu bagi penjawat awam negeri bermula 15 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Matlamat: kurangkan beban perjalanan dan tingkatkan keseimbangan kerja-hidup tanpa menjejaskan produktiviti.
  • Sektor pengurusan perlu mendapat kelulusan ketua jabatan untuk BDR; sektor operasi bergilir memastikan sekurang-kurangnya 50% kakitangan di lapangan.
  • Semua pejabat wajib beroperasi fizikal Isnin dan Jumaat; sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan; kehadiran dipantau secara elektronik.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kira-kira 6,000 penjawat awam dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan itu yang bertujuan mengurangkan beban perjalanan harian serta meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan tanpa menjejaskan produktiviti.

“Pelaksanaan BDR juga melibatkan dua sektor utama iaitu sektor pengurusan dan pentadbiran serta sektor operasi. Bagi sektor pengurusan dan pentadbiran seperti kewangan, pentadbiran dan pengurusan sumber manusia, BDR ditetapkan sebanyak dua kali seminggu, tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.

“Bagi sektor operasi yang melibatkan pegawai teknikal seperti jurutera, penolong jurutera, penghulu, penolong pegawai tanah, penguatkuasa dan skim lain yang berkaitan, pelaksanaan BDR dilakukan secara penggiliran supaya sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan operasi sentiasa berada di lapangan atau pejabat pada setiap hari bekerja,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, Seremban.

Beliau berkata pendekatan tersebut selaras dengan usaha Kerajaan Persekutuan menangani tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kenaikan kos bahan api dan perbelanjaan harian.

Bagaimanapun, semua pejabat awam diwajibkan beroperasi secara fizikal pada hari Isnin dan Jumaat. Sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan tidak terlibat, termasuk petugas kaunter yang perlu kekal beroperasi secara fizikal.

Kelulusan BDR bagi pegawai kumpulan pengurusan dan profesional perlu mendapat pertimbangan Setiausaha Kerajaan Negeri dan tidak diberikan secara automatik. Pemantauan kehadiran dijalankan secara elektronik melalui sistem SPOT-ME atau Google Live Location.

Pelaksanaan itu turut diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri, tertakluk kepada penerimaan agensi masing-masing dan boleh ditarik balik sekiranya menjejaskan keberkesanan pentadbiran negeri.