Weststar Group tidak terjejas dengan konflik Asia Barat

Weststar Aviation Services memperoleh pembiayaan berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan AmBank.

KUALA LUMPUR, 6 April Weststar Group tidak terjejas dengan konflik Asia Barat kerana telah keluar daripada operasi pengangkutan luar pesisir di rantau itu sejak akhir tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kos operasi tidak terjejas kerana kos bahan api dikira sebagai kos pass-through mengikut kontrak syarikat.
  • Weststar pernah beroperasi di Arab Saudi kira-kira tiga tahun dan keluar awal kerana menjangka ketidakstabilan meningkat.
  • Krisis tenaga dijangka merangsang aktiviti perdagangan, meningkatkan permintaan pengangkutan helikopter ketika harga bahan api naik.
  • Pembiayaan RM2 bilion AmBank memperkukuh modal kerja, percepatkan pengembangan armada daripada 32 kepada lebih 60 helikopter dan sokong O&G, pertahanan serta MRO.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim, berkata, kos operasi tidak terjejas kerana kos bahan api dikira sebagai kos pass-through menurut kontrak syarikat.

Beliau berkata, Weststar pernah beroperasi di Arab Saudi selama kira-kira tiga tahun, namun memilih untuk keluar selepas menjangkakan ketidakstabilan yang semakin meningkat.

Tambah beliau, krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat dijangka merangsang lebih banyak aktiviti perdagangan, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap pengangkutan helikopter apabila harga bahan api meningkat.

“Bukan bermakna kami mahu konflik ini berterusan, tetapi kami menjangka akan terdapat lebih banyak aktiviti dalam perdagangan, dan sebagainya. Semua aktiviti ini memerlukan perkhidmatan pengangkutan, sama ada melalui laut atau udara.

“Oleh itu, kami melihat ini sebagai sebuah peluang,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Pembiayaan RM2 Bilion AmBank-Weststar Aviation Services.

Pada sidang media sama, Tan Sri Dr. Syed Azman memaklumkan, Weststar Aviation Services memperoleh pembiayaan berjumlah RM2 bilion daripada Kumpulan AmBank, satu langkah penting bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan penerbangan Malaysia serta menyokong industri-industri utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pembiayaan ini turut memperkukuh modal kerja dan memudahkan pengurusan pertukaran asing, serta memperluas armada untuk menyokong operasi minyak dan gas serta pengangkutan luar pesisir.

“Pembiayaan ini membolehkan syarikat mempercepat pelan pengembangan armada daripada 32 kepada lebih 60 helikopter dalam tempoh dua tahun, selain meningkatkan keupayaan operasi dan mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran global.

“Syarikat juga merancang untuk berkembang ke pelbagai sub-segmen baharu, termasuk perkhidmatan kepada agensi kerajaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), sebagai sebahagian daripada pelan tiga hingga lima tahun akan datang,” kata beliau.

Langkah pembiayaan ini juga menyokong sektor pertahanan dan tindak balas kecemasan, sekali gus memperkuat pengaruh Weststar dalam lanskap penerbangan negara.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Perbankan Borong (Wholesale Banking) AmBank, Datuk Jamzidi Khalid, keupayaan Weststar yang diperluas akan memainkan peranan penting dalam menyokong sektor minyak dan gas Malaysia, dengan memastikan perkhidmatan pengangkutan luar pesisir yang boleh dipercayai dan selari dengan agenda keselamatan tenaga negara.

“Pada masa sama, kehadiran Weststar yang semakin berkembang dalam sektor pertahanan dan perkhidmatan kecemasan menyumbang secara langsung kepada ketahanan negara, tahap kesiapsiagaan serta keselamatan awam.

“Kerjasama ini menandakan fasa pertumbuhan baharu Weststar, memperkukuh kedudukan syarikat serta menyokong keutamaan negara dalam sektor kritikal,” tambah beliau.