Lebih 300 tentera AS cedera dalam konflik di Asia Barat

Imej yang dikeluarkan oleh penyiar rasmi Iran pada 27 Mac 2026 menunjukkan dron dilancarkan ke arah pangkalan sokongan tentera dan pusat pengangkutan Israel di Tel Aviv/AFP

WASHINGTON, 28 Mac- Lebih 300 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dilaporkan cedera sejak bermulanya konflik dengan Iran pada 28 Februari lalu, menurut Komando Pusat AS (CENTCOM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Seramai 303 anggota perkhidmatan AS dilaporkan cedera sejak pelancaran operasi Epic Fury, kebanyakan kecederaan bersifat ringan.
  • 273 anggota telah kembali bertugas selepas menerima rawatan.
  • 13 anggota tentera AS dilaporkan maut, tujuh di kawasan Teluk dan enam di Iraq.
  • Tentera Iran mengisytiharkan hotel yang menempatkan anggota AS akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan.

Jurucakapnya memaklumkan, seramai 303 anggota perkhidmatan AS mengalami kecederaan sejak pelancaran operasi Epic Fury dengan sebahagian besar daripadanya didakwa bersifat ringan.

Kapten Tentera Laut AS, Tim Hawkins berkata 273 anggota telah kembali bertugas selepas menerima rawatan.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali pula dilaporkan berkata 10 anggota masih berada dalam keadaan parah.

Dalam perkembangan sama, seramai 13 anggota tentera AS dilaporkan maut setakat ini, dengan tujuh terbunuh di kawasan Teluk dan enam lagi di Iraq.

Tentera Iran pada Jumaat menyatakan bahawa hotel yang menempatkan anggota tentera AS di rantau berkenaan akan dianggap sebagai sasaran ketenteraan oleh pihaknya.

Jurucakap angkatan bersenjata Iran, Abolfazl Shekarchi berkata mana-mana premis yang digunakan oleh tentera AS akan dilihat sebagai kepentingan Amerika.

Konflik tercetus pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran sehingga mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ali Khamenei.

Sejak itu, ketegangan merebak ke seluruh Asia Barat dengan Iran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Presiden AS, Donald Trump berkata rundingan bagi menamatkan konflik masih berlangsung dan mendakwa ia menunjukkan perkembangan positif. -AFP