PM tegas peranan Malaysia dalam OIC, sokong diplomasi Afghanistan-Pakistan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan perbualan bersama pemangku Perdana Menteri Afghanistan/Foto PMO

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Malaysia akan terus berperanan aktif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menilai isu pengiktirafan pihak berkuasa semasa Afghanistan, dengan menekankan prinsip keadilan, keterangkuman serta pemeliharaan hak wanita dan golongan minoriti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbualan menyentuh ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan serta sokongan kepada usaha gencatan senjata untuk kestabilan berkekalan.
  • Malaysia konsisten mendukung inisiatif diplomasi rakan seperti Arab Saudi, Qatar dan Türkiye untuk meredakan ketegangan serantau.
  • Bantuan kemanusiaan diperkasa bersama Global Peace Mission dan MERCY Malaysia meliputi pembaikan pendidikan, latihan perubatan dan kesiapsiagaan bencana.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam perbualannya bersama pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hasan Akhund.

Perbualan itu turut menyentuh perkembangan semasa di Asia Selatan termasuk ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan serta usaha ke arah gencatan senjata.

Katanya, Malaysia berharap segala usaha ke arah meredakan ketegangan itu dapat diterjemahkan kepada kestabilan berkekalan berteraskan nilai ihsan dan ukhuwah.

“Malaysia malah konsisten dalam mendukung segala usaha dan ikhtiar diplomasi, termasuk yang telah digerakkan negara sahabat seperti Arab Saudi, Qatar dan Türkiye,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Khamis.

Menurutnya, bantuan kemanusiaan Malaysia turut diperkasa melalui kerjasama strategik bersama Global Peace Mission dan MERCY Malaysia.

Ia merangkumi pembaikan prasarana pendidikan, latihan kepakaran perubatan serta kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Beliau turut menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada Mullah Mohammad Hasan Akhund dan rakyat Afghanistan, sambil menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh solidariti dalam kalangan ummah secara menyeluruh dan berkesan.

“Pendekatan Malaysia kekal berpaksikan keseimbangan antara prinsip dan pragmatisme yakni menyemarak harapan, membina keyakinan, dan mempertunjukkan kepimpinan sebagai wahana damai dalam dunia yang semakin kacau,” katanya.