
SAUDARA PENGARANG
- Risiko geopolitik boleh mengganggu rantaian bekalan makanan sejagat; negara perlu sediakan langkah mitigasi awal.
- Tahap sara diri bagi beras, sayur dan daging ruminan rendah; pengurangan pergantungan import perlu dipercepat.
- Perkukuh peranan MKN dan tubuhkan pusat arahan keterjaminan makanan untuk pemantauan risiko dan tindak balas pantas.
- Perluas rizab strategik, perkukuh GLC dan PKS agro, serta galakkan pertanian bandar dan kebun komuniti sebagai sokongan keselamatan makanan.
Dalam dunia semakin tidak menentu hari ini, keterjaminan makanan bukan lagi sekadar isu pertanian atau bekalan pasaran. Ia telah berkembang menjadi isu keselamatan negara yang memerlukan perhatian segera dan tindakan strategik daripada semua pihak.
Pergolakan geopolitik yang semakin meningkat di beberapa wilayah dunia termasuk Asia Timur dan Eropah Timur memberi isyarat jelas bahawa rantaian bekalan global boleh terganggu pada bila-bila masa.
Sejarah menunjukkan bahawa apabila konflik antarabangsa berlaku, perdagangan makanan sering menjadi antara sektor yang paling cepat terkesan.
Krisis makanan global pada tahun 2008 memberikan pengajaran penting kepada dunia. Ketika itu, sekatan eksport beras oleh beberapa negara pengeluar utama menyebabkan harga beras dunia melonjak hampir tiga kali ganda dalam tempoh singkat. Banyak negara pengimport berdepan panik bekalan dan kenaikan harga mendadak.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima kesan krisis tersebut. Berdasarkan perkembangan semasa dunia, risiko gangguan terhadap rantaian bekalan makanan global bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk berulang.
Justeru, keterjaminan makanan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda keselamatan nasional yang memerlukan pendekatan lebih strategik dan menyeluruh. Realitinya, tahap Self-Sufficiency Level (SSL) atau tahap sara diri bagi beberapa komoditi makanan utama negara masih sederhana.
Bagi beras, tahap sara diri Malaysia dianggarkan sekitar 52–56 peratus, bermakna hampir separuh keperluan beras negara masih bergantung kepada import. Apabila dibandingkan dengan negara jiran di rantau ASEAN, jurang ini lebih ketara.
Thailand dan Vietnam, sebagai antara pengeluar utama beras dunia, mempunyai tahap sara diri melebihi 150 peratus, sekali gus membolehkan mereka menjadi pengeksport utama beras global.
Indonesia pula mengekalkan tahap sara diri beras sekitar 80–90 peratus, manakala Filipina sedang mempergiatkan pelbagai program reformasi sektor padi bagi meningkatkan pengeluaran domestik. Perbandingan ini menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai ruang besar untuk memperkukuh keupayaan pengeluaran makanan sendiri.
Selain beras, tahap sara diri bagi sayur-sayuran di Malaysia dianggarkan sekitar 40–45 peratus, manakala buah-buahan dalam lingkungan 70–80 peratus bergantung kepada jenis komoditi. Angka ini menunjukkan bahawa negara masih mempunyai tahap pergantungan tinggi terhadap bekalan makanan luar negara.
Dalam subsektor ternakan pula, Malaysia hampir mencapai tahap sara diri bagi daging ayam dan babi sekitar 90–95 peratus SSL, manakala pengeluaran telur ayam dan itik telah melebihi 100 peratus, menandakan keupayaan pengeluaran tempatan yang agak kukuh.
Keadaan sangat berbeza bagi ternakan ruminan. Tahap sara diri bagi daging lembu dan kerbau hanya sekitar 15–16 peratus, manakala daging kambing dan biri-biri sekitar 10 peratus sahaja. Ini bermakna sebahagian besar keperluan daging merah negara masih bergantung kepada import.
Dalam sektor tenusu pula, tahap sara diri bagi susu segar berada sekitar 60 peratus, menunjukkan industri tenusu tempatan masih memerlukan pembangunan lebih agresif bagi mengurangkan pergantungan kepada import produk tenusu.
Namun demikian, sektor perikanan menunjukkan prestasi lebih memberangsangkan bagi beberapa spesies tertentu. Data menunjukkan komoditi seperti siakap mencatatkan SSL sekitar 123 peratus, tuna sekitar 108 peratus, ketam sekitar 100 peratus dan patin sekitar 100 peratus, menandakan subsektor akuakultur berpotensi menjadi sumber protein tempatan lebih stabil pada masa hadapan.
Dalam keadaan geopolitik global yang stabil, pergantungan ini mungkin tidak begitu dirasai. Namun dalam situasi dunia yang tidak menentu, sebarang gangguan perdagangan antarabangsa boleh memberi kesan segera kepada bekalan makanan domestik.
Persoalannya kini bukan lagi sama ada krisis bekalan makanan boleh berlaku, tetapi sejauh mana negara bersedia menghadapinya.
Kerajaan sebenarnya telah memulakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh pengeluaran makanan tempatan. Antaranya ialah pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) sebagai kawasan khusus untuk pengeluaran makanan secara komersial dan berteknologi tinggi. Melalui konsep TKPM, kerajaan menyediakan infrastruktur asas seperti sistem pengairan, jalan ladang serta kemudahan sokongan lain bagi membantu pengusaha meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan secara mampan.
Selain itu, kerajaan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah melalui pelbagai program ekonomi termasuk pengeluaran makanan dan pertanian bandar. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan rakyat, malah berpotensi menambah sumber pengeluaran makanan tempatan.
Walau bagaimanapun, dalam dunia yang semakin mencabar, usaha-usaha ini perlu diperkukuh dan dipercepatkan pelaksanaannya.
Salah satu langkah strategik yang wajar dipertimbangkan ialah memperkukuh peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memantau risiko berkaitan bekalan makanan negara. Dalam konteks dunia yang semakin kompleks, isu keterjaminan makanan perlu diletakkan setara dengan isu ketenteraan dan ketenteraman awam, keselamatan tenaga, keselamatan siber dan keselamatan ekonomi.
Sehubungan itu, Malaysia wajar mempertimbangkan penubuhan Pusat Arahan Keterjaminan Makanan Negara (PAKMN) atau Agensi Keterjaminan Makanan Negara (AKMN) sebagai pusat penyelarasan strategik bagi memantau rantaian bekalan makanan, mengesan risiko gangguan global serta merangka tindak balas pantas terhadap sebarang krisis bekalan makanan.
Pewujudan pusat ini boleh dilakukan dengan menggabungkan kerjasama antara kementerian berkaitan seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa serta agensi keselamatan negara.
Melalui pendekatan ini, negara dapat membangunkan sistem amaran awal bagi mengenal pasti risiko gangguan bekalan makanan global dan merangka langkah mitigasi lebih awal.
Selain itu, kerajaan persekutuan dan negeri juga perlu memperkukuh rizab makanan strategik negara.
Negara-negara seperti Jepun dan China telah lama membangunkan sistem stok penimbal makanan bagi memastikan bekalan asas seperti beras, gandum dan bijirin sentiasa mencukupi sekiranya berlaku gangguan import. Malaysia juga perlu memperluaskan pendekatan ini secara sistematik bagi memastikan bekalan makanan strategik negara sentiasa berada pada tahap selamat.
Dalam masa yang sama, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh diperkasakan dalam sektor agro-makanan. Dengan kapasiti kewangan dan keupayaan pengurusan yang besar, GLC berpotensi menjadi pelabur strategik dalam pembangunan projek pengeluaran makanan berskala besar.
Pelaburan ini boleh difokuskan kepada pembangunan kawasan pengeluaran makanan strategik, pengeluaran benih berkualiti tinggi, pembangunan teknologi pertanian moden serta pengukuhan rantaian bekalan makanan domestik. Pendekatan ini mampu mempercepatkan pembangunan sektor agro-makanan negara sekaligus mengurangkan pergantungan kepada import.
Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang agro-makanan juga perlu diperkukuh. Usahawan tani tempatan perlu diberikan akses lebih luas kepada teknologi moden seperti fertigasi, hidroponik, pertanian bandar dan rumah hijau.
Selain itu, teknologi pemprosesan pasca tuai dan pembangunan industri hiliran perlu diberi perhatian bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan.
Di peringkat masyarakat pula, kesedaran terhadap sumber makanan perlu dipupuk semula. Amalan berkebun makanan di rumah dan kebun komuniti perlu digalakkan sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan lestari. Pendekatan seperti kebun dapur, kebun komuniti dan pertanian bandar telah menjadi sebahagian daripada strategi ketahanan makanan di banyak negara maju.
Hakikatnya, keterjaminan makanan bukan sekadar isu pertanian. Ia adalah soal kestabilan negara.
Sejarah dunia menunjukkan bahawa krisis makanan sering menjadi pencetus tekanan sosial dan ketidakstabilan ekonomi. Apabila bekalan makanan menjadi terhad atau harga meningkat mendadak, kesannya boleh dirasai oleh seluruh masyarakat.
Oleh itu, tindakan perlu dimulakan sekarang. Negara yang bersedia lebih awal akan mempunyai keupayaan menghadapi sebarang kejutan global dengan lebih tenang dan terkawal. Dalam dunia yang semakin tidak menentu ini, negara yang mampu menjamin bekalan makanannya sendiri adalah negara paling berdaya tahan.
Justeru, bagi Malaysia, masa untuk bertindak bukan lagi esok atau lusa. Masa untuk bertindak adalah sekarang, sebelum krisis memaksa kita bertindak apabila semuanya sudah terlambat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dr. Mohd Desa Hassim
Perunding Latihan Kanan
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
Bukit Kiara
Email: mdesa@intanbk.intan.my