
PUTRAJAYA, 16 Mac – Kementerian Pengangkutan sedang dalam proses menambah lebih banyak bengkel yang boleh melakukan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) supaya semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem itu.
- Hanya 20 peratus kenderaan berat telah dipasang peranti SLD sejak ia diwajibkan.
- Senarai bengkel yang boleh melakukan pemasangan SLD akan dikemas kini untuk memudahkan pemilik kenderaan di seluruh negara.
- Penguatkuasaan penggunaan SLD ke atas kenderaan perdagangan bermula secara berperingkat pada 1 Oktober 2025.
Jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, setakat ini hanya 20 peratus kenderaan berat sudah dipasang peranti itu, sejak ia diwajibkan Oktober lalu.
Beliau berkata, senarai bengkel yang boleh membuat pemasangan itu akan dikemas kini, bagi memudahkan pemilik kenderaan berat di seluruh negara.
“Jadi, kita minta supaya pihak industri mengambil serius perkara ini dan kita memang sedang menambah lebih banyak bengkel untuk mereka membuat pemasangan SLD di seluruh negara. Dan senarai ini akan terus bertambah supaya memudahkan pengguna.
“Kita faham bahawa untuk mereka memasang dan mengesahkan pemasangan SLD ini, ia perlukan lebih banyak rangkaian, lebih banyak bengkel dan sebagainya.memang itu telah pun ditambah sekarang,’ katanya.
Beliau bercakap pada sidang media pengumuman garis panduan kenderaan ‘de-controlled’ dan ‘pick-up’ bagi membawa barangan di kementeriannya .
Pada 13 Jun lepas, beliau mengumumkan penggunaan SLD ke atas kenderaan perdagangan termasuk bas ekspres dan persiaran, yang dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 1 Okt 2025.