G7 bincang pertimbangan guna simpanan minyak

Foto Reuters

PARIS, 11 Mac – Negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) sedang mempertimbangkan pelepasan stok simpanan minyak strategik bagi meredakan tekanan pasaran susulan konflik melibatkan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemimpin G7 membincangkan pelepasan stok semasa mesyuarat yang dihoskan Presiden Emmanuel Macron.
  • Jika Selat Hormuz tidak dibuka semula, bekalan boleh digantikan dari tempat lain untuk diedarkan ke seluruh dunia.
  • Anggota Agensi Tenaga Antarabangsa memiliki lebih satu bilion tong simpanan; sebahagian boleh dilepaskan untuk menstabilkan harga.
  • Tindakan perlu terhad dan diselaraskan antara G7 serta anggota IEA; pelepasan sebelumnya membantu, tetapi stok terhad.

Menteri Kewangan Perancis, Roland Lescure berkata langkah itu sedang dibincangkan oleh pemimpin G7 dalam mesyuarat yang dihoskan Presiden, Emmanuel Macron.

“Jika kita tidak dapat membuka semula Selat Hormuz dengan segera, kita akan menggantikannya dengan bekalan minyak dari tempat lain yang boleh diedarkan ke seluruh dunia,” katanya ketika diwawancara stesen televisyen.

Beliau berkata negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memiliki lebih satu bilion tong simpanan minyak dan sebahagian daripadanya boleh dilepaskan bagi membantu menstabilkan harga yang turun naik sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menurutnya, sebarang tindakan perlu dilakukan secara terhad dan diselaraskan dalam kalangan negara G7 serta anggota IEA bagi menghantar isyarat jelas kepada pasaran.

Lescure menambah, pelepasan simpanan sebelum ini telah membantu meredakan ketegangan pasaran, namun mengingatkan bahawa stok berkenaan terhad. – Reuters