
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Tadbir urus kewangan yang baik akan terus diberi penekanan dalam pengurusan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memastikan operasi penyiaran awam dilaksanakan secara lebih telus dan berkesan.
- Penekanan tadbir urus kewangan yang kukuh bagi memastikan penyiaran awam lebih telus dan berkesan.
- Fokus beliau sejajar latar belakang kewangan untuk memperkukuh sistem pengurusan sedia ada, bukan cipta perkara baharu.
- Tekankan ketepatan maklumat dan pemeliharaan imej organisasi untuk mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap RTM.
- Menghargai komitmen warga bilik berita dan bertukar pandangan ketika lawatan bagi mempertingkat profesionalisme penyampaian berita.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah berkata, fokus itu selari dengan latar belakang beliau dalam bidang kewangan selain bertujuan memperkukuh sistem pengurusan sedia ada.
“Fokus saya juga kepada tadbir urus, terutamanya dari segi kewangan sebab latar belakang saya kewangan. Jadi bukan nak buat benda baharu, tetapi lebih kepada kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul,” katanya selepas meninjau operasi penerbitan siaran langsung di Wisma Berita, Angkasapuri pada Isnin.
Beliau yang baharu dilantik pada 23 Februari lalu berkata bidang penyiaran merupakan pengalaman baharu baginya dan memberi peluang untuk beliau mendalami pelbagai aspek berkaitan operasi media.
“RTM ini bidang penyiaran yang agak baharu bagi saya. Bila masuk ke sini banyak perkara yang perlu dipelajari termasuk proses kerja dan operasi penyiaran,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan ketepatan maklumat serta imej organisasi perlu terus dipelihara bagi memastikan peranan RTM sebagai penyiar awam kekal diyakini masyarakat.
Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap komitmen warga bilik berita yang memastikan setiap laporan ditapis dan disediakan dengan teliti sebelum disiarkan kepada umum.
Lawatan berkenaan turut menjadi platform untuk bertukar pandangan dengan warga kerja selain menghargai usaha mereka dalam memastikan laporan berita disampaikan secara profesional dan berwibawa.