‘Smart food’ bantu kurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan

Foto hiasan/Arkib BERNAMA

SERDANG, 9 Mac – Orang ramai khususnya umat Islam disaran mengamalkan konsep “Smart Food” sebagai pendekatan bagi membantu pengguna merancang pemilihan serta penyimpanan makanan secara lebih sistematik sekali gus mengurangkan pembaziran makanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Smart Food ialah makanan berkhasiat, selamat, mudah disimpan dan membantu mengurangkan pembaziran.
  • Pilih makanan tenaga berpanjangan seperti kurma, kekacang dan bijirin tinggi serat untuk kekal bertenaga berpuasa.
  • Amalkan teknik penyimpanan: periksa label dan tarikh luput, gunakan bekas kedap udara, suhu peti sejuk 4°C dan pembeku -18°C.
  • Elakkan pembelian berlebihan; susun makanan secara sistematik, makanan masak di bahagian atas, daging mentah di bawah untuk elak pencemaran silang.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin, konsep itu menekankan pendekatan strategik dalam memilih makanan berkhasiat, menyimpan dengan betul serta mengurus bekalan makanan secara berkesan sepanjang tempoh berpuasa.

“Smart Food boleh digambarkan sebagai makanan yang ‘ada akal’, iaitu bukan sekadar sedap dan mengenyangkan tetapi berkhasiat, selamat dimakan, mudah disimpan serta tidak mendorong kepada pembaziran.

“Kita berpuasa antara 13 hingga 14 jam sehari, jadi makanan yang dipilih perlu mampu memberikan tenaga berpanjangan, bukan sekadar memberi tenaga seketika sebelum badan kembali letih,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan makanan yang tepat ketika berpuasa amat penting untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang hari.

“Pengambilan kurma dapat membekalkan tenaga segera ketika berbuka, manakala makanan seperti kekacang dan bijirin yang tinggi serat membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama serta menyokong keseimbangan tenaga sehingga waktu sahur dan keesokan harinya,” katanya.

Mengulas mengenai pengurusan makanan, beliau berkata budaya membeli makanan secara berlebihan di bazar Ramadan sering menyebabkan lebihan makanan akhirnya dibuang kerana tidak disimpan dengan betul.

“Setiap makanan menggunakan sumber seperti air, tenaga serta kos pengangkutan untuk dihasilkan. Apabila makanan dibuang, kita sebenarnya membazirkan semua sumber tersebut sekali,” katanya.

Dr. Muhammad Rezza berkata, teknik penyimpanan makanan yang betul dapat memanjangkan jangka hayat makanan serta mengurangkan risiko pencemaran dan keracunan makanan di rumah.

“Terdapat tiga perkara asas yang perlu diberi perhatian dalam penyimpanan makanan iaitu memeriksa label dan tarikh luput, menggunakan bekas makanan kedap udara serta memastikan suhu peti sejuk sekitar 4°C dan suhu pembeku sekitar -18°C,” katanya.

Bagi makanan kering seperti bijirin dan kurma pula, beliau menasihatkan supaya ia disimpan di tempat yang sejuk dan gelap bagi mengelakkan kerosakan lebih awal. Selain itu, penyusunan makanan di dalam peti sejuk juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan pencemaran silang.

“Makanan yang telah dimasak perlu diletakkan di bahagian atas peti sejuk, manakala daging, ayam dan ikan mentah disimpan di bahagian bawah dalam bekas bertutup,” katanya.

Beliau berkata, penyusunan makanan secara sistematik bukan sahaja membantu mengekalkan kesegaran makanan malah berpotensi memanjangkan jangka hayat makanan sehingga dua kali ganda serta mengurangkan risiko keracunan makanan.

“Konsep Smart Food juga dapat membentuk tabiat pembelian yang lebih berhemah apabila pengguna membeli makanan berdasarkan keperluan dan bukannya mengikut keinginan semata-mata.

“Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi peluang untuk membentuk disiplin dalam pengurusan makanan agar lebih bertanggungjawab demi kesejahteraan diri dan alam sekitar,” katanya.