Memahami istilah popular bulan Ramadan

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan: nama dari ramidha, menggambarkan kepanasan fizikal dan pembakaran dosa melalui ibadah serta penyucian rohani.
  • Tarawih berasal dari rawwaha, bermaksud berehat; menandakan rehat berulang dalam solat tarawih selepas setiap beberapa rakaat.
  • Doa al-'afwu meminta penghapusan dosa sepenuhnya, bukan sekadar pengampunan yang masih tercatat seperti al-maghfirah.

Dalam bulan Ramadan, kita tidak terlepas daripada mendengar atau menggunakan istilah Arab. Walaupun bahasa Arab ini bukan bahasa kita, tetapi ianya tidaklah asing atau jauh daripada hati umat Islam kerana kitab suci umat Islam iaitu al-Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab.

Begitu juga lafaz yang dituturkan dalam solat lima waktu turut menggunakan bahasa Arab bermula daripada takbiratul ihram sehinggalah memberi salam.

Bahasa Arab amat kaya dengan rahsia bahasa dan linguistiknya. Setiap lafaz yang diungkapkan mempunyai makna yang indah di sebaliknya yang membawa kepada keunikan serta keistimewaannya yang tersendiri.

Setiap kata nama mesti mempunyai asal-usulnya dan apabila diperhatikan dengan teliti, setiap lafaz bahasa Arab akan diketahui maknanya menerusi asal kalimah itu sendiri.

Ramadan Panas Membakar Dosa

Perkataan Ramadan diambil daripada kata kerja Arab ramidha yang membawa maksud sangat panas atau terik. Menurut Tafsir al-Qurtubi, Ramadan membawa beberapa makna yang berkait rapat dengan keadaan orang yang berpuasa. Antaranya ialah kepanasan yang dirasai oleh orang yang berpuasa, khususnya panas pada bahagian perut kebanyakannya disebabkan oleh kehausan.

Selain itu, dinamakan Ramadan juga kerana ia menggambarkan seolah-olah dosa-dosa terbakar melalui pelaksanaan amalan-amalan soleh sepanjang bulan tersebut.

Justeru, penamaan Ramadan bukan sekadar merujuk kepada keadaan fizikal, bahkan turut membawa makna rohani yang mendalam, iaitu proses penyucian diri melalui ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT yang membawa kepada pembakaran dosa-dosa.

Tarawih Merehatkan Bukan Memenatkan

Perkataan tarawih berasal daripada kata kerja rawwaha yang bermaksud berehat. Dari sudut tatabahasa Arab, tarawih merupakan kata nama jamak (plural) bagi tarwihah yang membawa maksud satu kali rehat.

Menurut penjelasan dalam Lisan al-Arab karya Ibn Manzur, tarwihah merujuk kepada tempoh rehat seketika yang dilakukan selepas setiap empat rakaat solat, atau selepas setiap dua salam dalam pelaksanaan solat Tarawih.

Kebiasaannya, dalam tempoh rehat tersebut, imam atau bilal akan membaca doa tertentu sebelum meneruskan rakaat seterusnya. Amalan ini bertepatan dengan makna asal perkataan tersebut, iaitu memberi ruang rehat secara berulang-ulang sepanjang pelaksanaan solat tarawih di bulan Ramadan.

Sahur ke suhur?

Dalam bahasa Arab, terdapat perkataan yang sama dari sudut ejaan tetapi berbeza makna apabila berbeza barisnya. Antara contoh yang sering menimbulkan kekeliruan ialah perkataan السُّحور dan السَّحور. Sekilas pandang, kedua-duanya kelihatan sama, namun perbezaan baris pada huruf sin membawa perbezaan makna yang signifikan.

Perkataan السُّحور dengan baris hadapan (dhammah) pada huruf sin merujuk kepada perbuatan makan atau minum sebelum masuknya waktu Subuh bagi orang yang hendak berpuasa. Ia menggambarkan satu amalan atau aktiviti.

Manakala السَّحور dengan baris atas (fathah) pada huruf sin pula merujuk kepada makanan atau minuman yang diambil ketika bersuhur. Dalam erti kata lain, ia merujuk kepada benda atau hidangan yang dimakan, bukan perbuatannya.

Oleh itu, penggunaan istilah yang lebih tepat ialah, kita bangun bersuhur untuk makan sahur. Kita disunatkan untuk bangun bersuhur kerana di sana ada keberkatan apabila kita mengikuti sunnah Rasulullah SAW di samping memberi bekalan tenaga dan nutrien ketika berpuasa.

Tadarus Bukan Sekadar Membaca, Tetapi Saling Mempelajari

Perkataan tadarus berasal daripada kata kerja Arab tadarasa yang membawa maksud saling mempelajari antara satu sama lain. Dari sudut pembentukan kata, tadarasa pula berasal daripada kata dasar darasa yang bererti belajar.

Apabila sesuatu perkataan berada pada wazan tafa’ala seperti tadarasa, ia memberi makna timbal balik atau interaksi dua hala. Justeru, tadarus bukan sekadar belajar secara individu, tetapi menggambarkan proses pembelajaran yang berlaku secara bersama dan saling melengkapi.

Dalam konteks amalan umat Islam, tadarus merujuk kepada aktiviti memperdengarkan bacaan al-Quran secara berpasangan atau berkumpulan. Setiap peserta akan membaca dan saling menyemak serta memperbetulkan bacaan antara satu sama lain.

Melalui kaedah ini, kesalahan dapat diperbaiki, kefasihan dapat dipertingkatkan dan penghayatan terhadap ayat-ayat al-Quran menjadi lebih mendalam.

Dengan demikian, tadarus bukan sahaja satu bentuk pembacaan, bahkan suatu proses pembelajaran kolektif yang menekankan semangat saling membimbing dan memperbaiki demi mencapai bacaan yang lebih tepat dan sempurna.

Rahsia di Sebalik Lafaz al-‘afwu Dalam Doa

Antara doa yang paling masyhur dan sering dibaca sepanjang bulan Ramadan, khususnya pada malam-malam terakhir, ialah “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa‘fu ‘anna” yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami.”

Di sebalik doa yang ringkas ini, tersimpan rahsia bahasa yang sangat mendalam. Lafaz yang digunakan dalam doa tersebut ialah al-‘afwu bukan al-maghfirah.

Al-maghfirah merujuk kepada kesalahan itu diampunkan namun masih tercatat dalam catatan amalan. Manakala al-‘afwu membawa maksud yang lebih tinggi, iaitu penghapusan dosa daripada catatan amalan sehingga seolah-olah ia tidak pernah dilakukan.

Justeru, apabila kita berdoa, kita sebenarnya tidak sekadar meminta agar dosa diampunkan, tetapi memohon agar ia dipadamkan sepenuhnya. Inilah keindahan pilihan lafaz dalam doa Ramadan satu permintaan yang bukan sahaja mengharapkan rahmat, bahkan penghapusan total terhadap dosa-dosa yang lalu.

Kesimpulannya, istilah-istilah Arab yang sering kita dengar dan amalkan sepanjang bulan Ramadan bukan sekadar ungkapan rutin, bahkan sarat dengan makna dan rahsia bahasa yang mendalam.

Memahami asal-usul dan makna sebenar istilah-istilah ini bukan sahaja menambah ilmu, malah meningkatkan penghayatan kita terhadap ibadah yang dilakukan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Mohammad Zariff Afiq Zuriman
Pensyarah Matrikulasi
Jabatan Bahasa (Bahasa Arab)
Pusat Matrikulasi
Universiti Islam Selangor
e-mel: zariffzuriman@uis.edu.my