Tehran lengang, kawalan keselamatan diperketat

Foto AFP

TEHRAN, 6 Mac – Perang yang tercetus antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran menyebabkan jalan-jalan di Tehran yang biasanya sesak kini lengang dan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan dengan sekatan jalan raya serta menempatkan anggota keselamatan di seluruh bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi Ali Khamenei dan menggesa rakyat menggulingkan kerajaan.
  • Rakyat terperangkap antara ancaman serangan udara dan tindakan keras kerajaan, termasuk kawalan keselamatan serta gangguan internet.
  • Kor Pengawal Revolusi menutup hampir semua jalan utama dengan anggota bersenjata dan senjata berat untuk menghalang protes antikerajaan.
  • Protes besar Januari ditindas; HRANA lapor lebih 7,000 maut dan lebih 50,000 ditahan, angka sebenar dipercayai lebih tinggi.

Konflik bermula Sabtu lalu selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang dilaporkan mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, selain menggesa rakyat Iran mengambil alih kerajaan mereka.

Sejak tercetusnya konflik di Asia Barat itu, rakyat Iran terperangkap antara ancaman serangan udara dan tindakan keras kerajaan, termasuk kawalan keselamatan serta menghadapi gangguan internet bagi mengehadkan akses penduduk kepada dunia luar.

Sementara itu, pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan menutup hampir semua jalan utama dengan anggota bersenjata dan senjata berat bagi menakutkan orang ramai serta mengelakkan protes antikerajaan berulang.

Protes besar-besaran pada Januari lalu menyaksikan ribuan penunjuk perasaan melaungkan slogan menentang Khamenei sebelum ia ditindas dengan tindakan keras pihak berkuasa.

Menurut kumpulan pemantau berpangkalan di Amerika Syarikat, Human Rights Activists News Agency (HRANA), lebih 7,000 orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras itu, manakala lebih 50,000 lagi ditahan, dengan angka sebenar dipercayai lebih tinggi.-AFP