
SHAH ALAM, 28 Februari – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Sumbangan kepada pelajar asnaf di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini.
- Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan sumbangan kepada 35 pelajar asnaf dan OKU UiTM.
- Sumbangan disalurkan melalui Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM.
- Inisiatif menunjukkan keprihatinan institusi diraja dan universiti terhadap pelajar memerlukan.
- Baginda berdua berbuka puasa dan menunaikan solat bersama warga UiTM.
Keberangkatan tiba baginda bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, disambut Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM kemudian berkenan menyampaikan sumbangan kepada 35 pelajar asnaf miskin serta Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk dua petugas OKU universiti berkenaan.
Sumbangan keseluruhan berjumlah RM7,000 itu disalurkan menerusi Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) UiTM, dengan setiap penerima menerima RM200 seorang.
Inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan institusi diraja dan pihak universiti dalam membantu meringankan beban pelajar memerlukan, khususnya dalam berdepan peningkatan kos sara hidup.
Baginda berdua kemudian berkenan berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama warga universiti berkenaan.