Insiden hina Islam: Kerajaan tekan konsep ‘lita’arafu’ dalam masyarakat majmuk

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari– Kerajaan memandang serius insiden melibatkan seorang pelajar yang didakwa menghina Islam di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tekankan konsep lita’arafu untuk galakkan saling kenal-mengenali dalam masyarakat majmuk bagi kurangkan ketegangan.
  • Pihak berkuasa sedang siasat dan akan ambil tindakan undang-undang termasuk penahanan serta pendakwaan jika perlu.
  • Seruan kepada semua pihak untuk pelihara keharmonian dan tidak kompromi dengan elemen pelampau yang mengancam keamanan.

Tindakan itu disifatkan mencabar sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan.

“Kita menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang. Namun, di peringkat kami, kami merasakan mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, iaitu amanah untuk memberikan peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil ringan perkara ini.”

“Apa yang ingin kita bawa adalah penekanan terhadap konsep lita’arafu iaitu saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Saya yakin, sekiranya masyarakat bukan Islam mengenali orang Islam dan orang Islam juga mengenali masyarakat lain dan kita sama-sama menghayati konsep lita’arafu, kita akan dapat mengurangkan kes-kes seperti ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengumumkan keputusan UPKK 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI SIRAJ Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak.

Tambahnya, pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang, termasuk penahanan serta pendakwaan terhadap individu terbabit.

Semua pihak turut diseru agar terus memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak pelampau yang cuba menggugat keamanan negara.

Insiden itu tercetus susulan penularan gambar dan hantaran media sosial memaparkan perbuatan menghina Islam, termasuk tindakan memijak al-Quran serta komen yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Sri Yahaya Othman mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) Al-Sultan Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan dan polis akan memohon perintah reman terhadap penuntut berkenaan.